FORUM BAJET 2010-YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM
Wednesday, 04 November 2009 | Ruangan: Rencana
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan Salam sejahtera.
Syukur Alahamdulillah kerana kita dapat bersama dalam Majlis Forum Bajet 2010 pada malam yang berbahagia ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli panel dan semua yang hadir.
Sidang Hadirin yang Berbahagia;
Sebagaimana kita maklum, Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Razak sudahpun mengumumkan Bajet 2010 di Parlimen pada minggu lepas. Bajet tersebut penting lantaran ia merupakan bajet yang pertama Datuk Seri Najib sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri Malaysia kira-kira lapan bulan. Kandungan bajet tersebut membolehkan kita memahami matlamat, tema dan strategi beliau untuk menangani ekonomi Malaysia dalam tempoh setahun kelak.
Bajet tersebut nampaknya diterima baik oleh pelbagai pihak setelah mereka digula-gulakan kononnya kandungan bajet tersebut mesra rakyat. Misalnya, terdapat peruntukan kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam teknologi hijau, kalangan pelajar, kolej komuniti dan rakyat miskin di luar bandar.
Saya tidak berhasrat memperincikan faedah yang bakal diterima oleh pelbagai pihak daripada bajet 2010 itu. Sebaliknya, perkara hendak saya sampaikan berkisar pada lompong-lompong atau kekurangan yang terdapat di sana sini dalam bajet negara yang baru diumumkan itu.
Saya ingin menonjolkan beberapa isyarat bahaya yang bakal menggugat negara kita ini. Dalam hal ini, kita harus melatih diri kita untuk melihat lebih jauh daripada sekadar luaran. Sebaliknya melampaui kebimbangan yang mendasari tanggapan umum kita terhadap bajet 2010 itu. Pada Indeks Bajet Terbuka 2009, Malaysia didapati berkedudukan 35% berdasarkan penilaian ketelusan dan keterbukaan bajetnya.
Dapatan ini merupakan hasil kajian di peringkat antarabangsa, dan Malaysia jatuh ke dalam kategori teruk, iaitu “hanya sedikit maklumat diketahui atau terdapat kebimbangan maklumat diketahui oleh orang awam”, yang bermaksud dokumen bajet itu sendiri tidak memberikan kita maklumat yang mencukupi apatah lagi sekiranya ia dihebahkan kepada orang awam.
Apabila kita membaca buku bajet 2010, kita dapati ia kekurangan hala tuju ekonomi dalam situasi ekonomi negara sekarang. Ungkapan-ungkapan seperti “ekonomi pendapatan tinggi”, “perubahan daripada ekonomi pertanian kepada ekonomi berasaskan industri”, dan “peralihan kepada model ekonomi berasaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti-aktiviti bernilai tambah tinggi” sebenarnya merupakan percubaan yang lemah dan kekurangan isi. Ungkapan-ungkapan tersebut hanyalah perulangan yang kerap didendangkan sebelum pembentangan bajet 2010 ini.
Sebenarnya, kini negara kita sangat-sangat memerlukan transformasi: iaitu apabila terdapat banyak kegagalan dalam beberapa institusi utama menyebabkan kita kehilangan punca pelaburan ekonomi yang besar termasuk gangguan terhadap hubungan kita dengan negara-negara jiran. Kalangan pelabur seperti Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia kita sedang mendahului Malaysia!
Sekiranya kita betul-betul hendak melakukan transformasi ekonomi Malaysia maka kita mestilah mensasarkan terhadap suatu rancangan ekonomi secara holistik (menyeluruh). Ia melibatkan matlamat memacu pertumbuhan ekonomi, menambah baik ketelusan dalam pasaran dan pentadbiran, dan penciptaan peluang pekerjaan. Di samping itu, matlamat mestilah jelas dalam usaha untuk mengurangi defisit bajet, penswastaan yang gagal, memacu perdagangan, pengendalian isu penjagaan kesihatan dan isu imigresen.
Tetapi, di manakah boleh kita temui elemen-elemen penting ini dalam bajet 2010? Sebenarnya, terdapat banyak lompong dan kekurangan yang mesti ditampal dan dijelaskan dalam bajet 2010…
Bajet 2010 ini memuatkan pengurangan biaya daripada RM215 bilion pada tahun 2009 menjadi RM191 bilion sahaja pada tahun 2010. Pengurangan ini secara langsung dikaitkan dengan pengurangan hasil kerajaan hampir RM20 bilion. Tindak tanduk kerajaan yang kurang berhemah dalam pengurusan perbelanjaan memang mendapat kritikan sejak empat tahun lalu. Baru pada tahun ini perbelanjaan itu dikurangkan menjadi 13%, walaupun masih belum jelas sama ada bonus bagi penjawat awam bakal diumumkan pada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan. Perbelanjaan keseluruhan kerajaan Persekutuan dalam bajet 2009 adalah dua kali ganda perbelanjaan pada tahun 2003. Ini merupakan purata kadar naikan sebanyak 8%, jauh lebih tinggi berbanding dengan kadar kenaikan penduduk Malaysia.
Para Hadirin yang Dihormati;
Hakikat yang nyata, dengan kejatuhan hasil negara memberikan isyarat bahawa kedudukan pendapatan kerajaan kini berada di tahap yang kurang menyenangkan. Kini, malahan setiap pemilik kad kredit dikenakan bayaran RM50 walaupun sebelumnya kad tersebut diperolehi tanpa dikenakan caj tertentu. Datuk Seri Najib berkata, kajian sedang di peringkat akhir tentang impak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kerajaan pusat akan membayar sebanyak RM22 million untuk melaksanakan kajian ini. Walhal negara perlu meneroka sumber hasil alternatif selain petrol dan gas kerana dalam jangka masa terdekat Malaysia mungkin menjadi pengimport minyak!
Kita perlu memberi perhatian serius terhadap pengumuman kerajaan untuk memulakan gelombang kedua penswastaan. Walaupun pada peringkat awalnya ia merupakan premis yang berkesan untuk mengurangi saiz perbelanjaan kerajaan, namun kita perlu faham bahawa penswastaan di Malaysia dipenuhi dengan pelbagai kecacatan. Misalnya, pada masa lalu, selepas sahaja badan-badan kerajaan diswastakan, mereka biasanya berakhir dengan kerugian yang besar, yang memaksa kerajaan membantu membayarkan hutang piutang (bailouts) yang berjumlah ratusan juta ringgit.
Sekarang dicadangkan pula syarikat-syarikat kerajaan ini diswastakan melalui Kementerian Kewangan (Diperbadankan) atau badan-badan kerajaan lain. Yang jelas, ia bertujuan ”mengurangi kebergantungan kewangan daripada kerajaan”, tetapi sekiranya mereka berada dalam skop MOF besar kemungkinan mereka tidak bebas sepenuhnya daripada mendapat bantuan kerajaan. Dalam pada kita memacu syarikat-syarikat kecil dan bersaiz sederhana, yang dianggap cara yang inovatif dalam usaha menggalakkan perkembangan keusahawanan di Malaysia, kita kerap berkata, “swastakan melalui MOF dengan bantuan dana dan pelaburan kerajaan”, dan kita menggunakan syarikat-syarikat berkenaan sekiranya kita mahukan sesuatu yang “outsourced”.
Rakyat Malaysia sebenarnya sudah melalui pengalaman pahit akibat penswastaan yang hanya menguntungkan kroni dan individu-indivitu tertentu. Duit pembayar cukai sebenarnya digunakan untuk memewahkan individu-individu tertentu ini. Oleh itu, rakyat negara ini mesti mempunyai kesungguhan untuk menentukan mana-mana badan kerajaan yang wajar diswastakan, dan yang keuntungannya dapat dinikmati bersama, manakala kerajaan tidak dibebankan apabila syarikat ini mengalami kerugian kelak.
Para Hadirin yang Berbahagia;
Isu lain yang hendak saya jelaskan adalah “perkara-perkara di luar bajet.” Sebagai contoh, bajet Kementerian Pertahanan yang tidak disertakan semua dokumen berkaitan, dengan alasan pendedahan maklumat berkenaan boleh mengancam keselamatan negara. Pada tahun 2008, RM8.2 billion dibelanjakan oleh Kementerian Pertahanan, di mana 54% adalah melalui ”direct negotiations”, berbanding kepada tahun 2006 di mana hanya 31% dilaksanakan melalui ”direct negotiations”. Ini bermakna bahawa tender terbuka adalah berkurangan sejak tahun 2006. Walhal semua dokumen berkaitan perlu disertakan sebagai membuktikan kepada rakyat kerajaan mengamalkan sikap kebertanggungjawaban. Kita pernah menyaksikan beberapa kes kontroversi dan perundingan jual beli yang meragukan, dan Malaysia tidak wajar kehilangan wang yang banyak angkara perbuatan segelintir pemimpin yang rasuah.
Contoh lain di luar bajet adalah peningkatan penggunaan konsultan persendirian bagi mencapai objektif kerajaan. Misalnya, saya diberitahu, keseluruhan projek KPI (yang gemar diuar-uarkan oleh Datuk Seri Najib) kini dijadikan aktiviti berbayar kepada firma konsultansi di luar kerajaan. Adakah ia bermakna, yang semua projek kerajaan, termasuk NKRA (National Key Result Areas) mesti dikendalikan oleh konsultan yang terpaksa dibayar dengan upah yang begitu mahal, walhal tugas tersebut mampu dilaksanakan oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan sendiri?
Kita mempunyai penjawat awam yang sangat besar jumlahnya di rantau ini, iaitu 1.24 juta orang, tetapi itupun kita masih ingin mencari khidmat konsultan asing dengan bayaran yang sangat tinggi. Sebenarnya, inilah masa yang sesuai untuk menilai kembali operasi perbelanjaan negara, dengan mengkaji sama ada penjawat awam sudah melebihi had maksimum. Walaupun ia kelihatan wajar untuk menubuhkan badan seperti PEMUDAH, namun tempoh keperluannya mesti ditetapkan, dan akhirnya fungsi badan ini mesti diserapkan ke dalam perkhidmatan awam yang sedia ada.
Jumlah kakitangan perkhidmatan awam berkembang 26% daripada 2003 hingga 2008. Sebenarnya, kerajaan tidak wajar meneruskan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam kerana, pertama, tindakan ini dianggap tidak efisien terhadap produktiviti negara; kedua, birokrasi peringkat atasan dibiayai oleh duit pembayar cukai, dan ketiga, ia boleh mewujudkan kumpulan majikan yang tidak perlu. Anugerah bagi penjawat awam pula perlulah berasaskan produktiviti.
Berhubung dengan perkara ketidakcekapan dalam kerajaan, saya kemukakan soalan ini; berapa banyakkah lagi institusi dan pertubuhan yang diperlukan untuk membuat dasar ekonomi negara? Pada masa sekarang, Kerajaan Persekutuan sudah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) yang asalnya dibentuk untuk menangani Krisis Kewangan Asia tahun 1997—98; Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri; Unit Penyelrasan dan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri; PEMUDAH, dan sekarang PEMANDU pula ditubuhkan. Jadi, adakah ini versi kecekapan ekonomi yang dinyatakan Datuk Seri Najib dalam bajet 2010?
Sejauh pemerhatian saya, Kerajaan Persekutuan sebenarnya membazirkan terlalu banyak kerana mengadakan pelbagai mesyuarat dan perbualan kosong kalangan birokrasi. Banyak di antara institusi ini tertakluk pada jurisdiksi (budi bicara) Jabatan Perdana Menteri yang bakal menerima biaya RM12 bilion menurut bajet 2010. Jumlah ini hampir 12 kali ganda keseluruhan bajet negeri Selangor, yang ingin saya sentuh kemudian.
Terdapat banyak peruntukan dalam bajet tersebut yang sewajarnya disalurkan kepada negeri-negeri di seluruh Malaysia. Bagaimanapun, oleh sebab keadaan politik terbahagi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, terutama Negeri-Negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, kita tidak berapa pasti dana-dana tersebut disalurkan kepada kami secara terus atau terhenti dalam akaun pihak-pihak tertentu.
Walaupun secara rasminya negara kita sebuah Persekutuan (federalism), dengan negeri-negeri mendapat tahap kebebasan tertentu, namun, sejak beberapa tahun ini kita mengalami dasar pemusatan kuasa kerajaan yang ketara, menyebabkan kerajaan-kerajaan negeri mempunyai jurisdiksi yang sangat terbatas, dan keadaan itu lebih buruk bagi negeri-negeri dalam penguasaan Pakatan Rakyat. Misalnya, peruntukan RM2.6 bilion yang diumumkan bagi perkhidmatan bekalan air dan pembentungan – bagaimanakah industri air Selangor yang sedang disusun semula, boleh mendapat untung?
Peruntukan RM281 juta bagi perbadanan kemajuan ekonomi negeri – entah siapa yang mereka maksudkan, mengapakah tidak diadakan beberapa siri mesyuarat dengan Kerajaan Negeri supaya hal ini dapat diselaraskan? Harapan saya beberapa pertemuan antara perwakilan Kerajaan Negeri dengan Kementerian-Kementerian berkenaan diadakan bagi urusan pemberian dana supaya membolehkan dana disalurkan daripada pihak atasan kepada pihak penerima yang layak.
Di negara-negara lain yang mengamalkan dasar persekutuan, terdapat suatu peraturan kerajasama yang baik antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan-Kerajaan Negeri, walaupun mereka berlainan parti politik. Misalnya, Kanada dan Australia: Mereka bertindak secara profesional bagi memastikan perhubungan yang mesra dan pengagihan dana dilakukan secara adil tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
Negara-negara ini menggunakan konsep persamaan, ataupun “equalisation formula” dengan Kerajaan Persekutuan memberikan pembayaran yang sama banyak kepada negeri-negeri bagi membolehkan mereka membiayai perkhidmatan kepada rakyat masing-masing setimpal dengan duit untuk membayar cukai. Di sini, maksim “tiada cukai tiada perkhidmatan” diamalkan seadanya.
Kerajaan-Kerajaan Negeri kemudian menerima dana setimpal dan membolehkan mereka membayar program-program yang berguna seperti pendidikan, kemasyarakatan dan alam sekitar. Tindakan seumpama berlaku sebaga jaminan bahawa kebajikan ekonomi dan keperluan asas masyarakat dijaga sepenuhnya tanpa mengira kedudukan kewangan negeri. Malangnya, perbuatan yang semurni ini tidak diamalkan di Malaysia, sehinggakan negeri-negeri dalam penguasaan Pakatan Rakyat kini tidak lagi mendapat dana pembangunan secara langsung daripada Kerajaan Persekutuan.
Kini dana tersebut disalurkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) yang ditempatkan di luar bangunan yang menempatkan setiausaha kerajaan negeri. Hinggakan Kerajaan Negeri Selangor tidak menyedari kewujudan pejabat SDO lantaran ia diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan. Justeru itu, tibalah masanya kita mengkesampingkan permainan politik seumpama sebaliknya memberi tumpuan pada pembangunan negeri demi kebajikan rakyat seluruhnya.
Supaya dapat diwujudkan satu negara bangsa Malaysia, maka pertimbangan-pertimbangan politik yang penuh dengan kekotoran dan dendam kesumat ini mesti segera disingkirkan, terutama oleh barisan peneraju Kerajaan Persekutuan.
Menurut Global Competitiveness Report, Malaysia jatuh dua kali dalam ranking ekonomi dunia, iaitu daripada kedudukan ke-21 ke kedudukan ke-24 dalam World Economic Forum (WEF), dan daripada tangga ke-21 ke tangga ke-23 dalam World Bank’s Doing Business 2010: Reforming Through Difficult Times, antara tahun 2009 dan 2010. Mungkin ada pihak yang meragui sistem ranking, dan cuba mengatakan yang kita bersaing dengan semua negara, sebaliknya ekonomi Malaysia sendiri tidak berkeadaan turun naik. Namun, yang nyata dalam persaingan global situasi ekonomi Malaysia tidak pulih dengan pantas berbanding dengan pemulihan pantas yang berlaku di Negara-negara jiran.
Satu cara kerajaan kita memberi respons adalah dengan meningkatkan dana sebanyak RM1 bilion kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia bagi tahun 2010, kerana kalangan pelabur begitu bimbang dengan tahap keselamatan di negara kita. Walaupun ia merupakan langkah yang bijak bagi menentang jenayah, namun, perhatian saya tertumpu pada jumlah wang yang banyak disalurkan kepada RELA, iaitu sebuah pertubuhan sukarela yang terkenal dengan taktik kasarnya menangani pendatang asing tanpa izin. Setiap ahli RELA, selepas mendapat latihan selama dua minggu, layak menerima senjata api untuk “menentang jenayah” di jalanan…ini suatu perkara yang mesti pandang serius…
Fakta yang mengjengkelkan ini, ditambah dengan laporan Auditor-General tentang beberapa nama dan institusi yang memalukan, memberikan isyarat bahawa seluruh negara memerlukan suatu reformasi. Beberapa institusi kita tidak bersikap profesional, dengan budaya rasuah menjalar ke dalam ruang lingkup perniagaan yang melibatkan jalinan kuat antara politik dengan perniagaan, yang semakin sukar dipisahkan.
Bajet pelaburan desa tidak begitu jelas daripada sudut sasaran pertumbuhan. Memang hal ini dilihat sukar apabila bajet Negara menekankan aspek-aspek subsidi dan insentif yang lebih bersifat “tempelan”. Sebagai suatu ”tempelan” atau sebagai “duit helikopter”, tidak terdapat keperluan bagi kerajaan untuk mengira jumlah sebenarnya. Walhal subsidi penting dalam jangka masa tertentu tetapi ia juga menyebabkan berlakunya ketidakcekapan dalam pasaran. Oleh itu usaha yang bijaksana perlu difikirkan bagi menangani isu subsidi ini.
Juga terdapat ketidaksamaan antara negeri dalam bajet 2010, misalnya antara Sabah dan Sarawak. Di dua negeri tersebut, masih terdapat sejumlah besar kampung yang tiada bekalan elektrik, air bersih ataupun persekitaran kehidupan yang damai. Yang kita dengar bajet bagi Sabah dan Sarawak melibatkan peruntukan bagi sekolah, infrastruktur persendirian dan bantuan kebajikan. Di peringkat nasional, “gini coefficient” yang mengukur ketidaksamarataan pendapatan merupakan antara yang tertinggi di sini.
Bajet tersebut tidak menjelaskan keadaan sebenar. Ia menukar garisan kemiskinan bagi penduduk miskin di bandar kepada RM3000, yang walaupun merupakan petanda yang lebih tetap yang menunjukkan kalangan warganegara miskin yang memerlukan bantuan, tetapi Kerajaan Persekutuan sepatutnya tidak memberikan bantuan sahaja tanpa menilai kesan daripada bantuan tersebut: adakah bantuan ini efektif, dan apakah kekesanannya (results/impact)?
Konsep 1Malaysia sebagai slogan penyatuan mungkin bunyinya baik dan memikat, tetapi sekali lagi saya melihatnya sebagai hipokrasi yang menagih sokongan berterusan. Misalnya, Biro Tatanegara (BTN), ia perlu dihapuskan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib dalam bajetnya ini. BTN dilihat menyebarkan fahaman perkauman dan diskriminasi serta kebencian sosial yang disasarkan kepada kaum-kaum bukan Melayu dengan cara yang kasar dan melampau. Hakikat betapa seluruh penjawat awam perlu melalui latihan sebelum diambil bekerja dengan kerajaan memberikan isyarat yang bertentangan dengan hasrat untuk merealisasikan konsep satu Malaysia. Dalam hal ini usaha untuk menyokong agenda penyatuan, bermakna banyak lagi usaha perlu dilakukan.
Sidang Hadirin yang Saya Hormati;
Untuk Malaysia berjaya sebagaimana negara-negara jirannya, ia perlu menjalani pemulihan yang menyeluruh. Pakatan Rakyat percaya dasar ekonomi yang berjaya perlu disaluti dasar pengagihan yang adil dan sama rata, dengan memastikan semua rakyat daripada pelbagai keturunan mendapat peluang sama rata berasaskan keperluan dan meritokrasi. Hal ini tidak bermakna orang Melayu kehilangan hak mereka. Apabila Kerajaan Negeri Selangor mensasarkan program untuk golongan miskin, ia tidak dinafikan sebenarnya menguntungkan sejumlah besar orang Melayu.
Seterusnya, dalam bajet 2010, Datuk Seri Najib gagal memberikan idea baharu dan hebat untuk memacu ekonomi negara. Beliau juga gagal menyatakan dengan jelas cara untuk menghapuskan penyangak-penyanyak dalam pentadbirannya yang terlibat dengan rasuah, tidak telus dan tidak berakauntabiliti.
Sebenarnya, pengagihan sewajarnya bajet baik di peringkat Persekutuan, Negeri mahupun di peringkat Majlis Daerah melibatkan kemahiran penting yang membolehkan kita berupaya menilai sama ada kita mendapat pulangan terbaik terhadap cukai yang kita bayar kepada kerajaan, atau sebaliknya.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan;
Tatkala Bajet 2010 dilihat kurang memberikan nilai positif bagi sektor-sektor ekonomi terpilih, terdapat beberapa masalah dalam negara yang memerlukan pembaikpulihan. Waktunya sudah tiba bagi pemulihan besar-besaran tentang cara kita mengurus sumber ekonomi negara kita. Ia bermaksud, bajet perlu lebih telus dan terbuka, tidak bersifat “off-budget” atau terlampau banyak “contingent liabilities yang disembunyikan daripada pengetahuan orang awam.
Di samping itu, isu-isu mengenai ketidakcekapan dan defisit bajet mestilah diurus dengan cekap. Demikian juga isu-isu awam yang berkaitan dnegan keselamatan dan pengangkutan awam mesti dihuraikan dengan jelas terutama yang berlaku di Sabah dan Sarawak.
Perkara terakhir, saya sangat berharap agar mekanisme pertumbuhan sebenar mesti dihuraikan dengan jelas dan meyakinkan.
Sekianlah sahaja ucapan alu-aluan saya. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Forum Bajet 2010.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



