Selangor Ambil Inisiatif Budayakan Kebebasan Akhbar
Sunday, 03 May 2009 | Ruangan: RencanaTIADA yang boleh menafikan peranan media atau akhbar dalam pembangunan sesebuah negara. Bercakap mengenainya, kebebasan akhbar adalah salah satu faktor penting bagaimana masyarakat demokrasi itu dapat dibina.
Budaya Kebebasan Akhbar
Dunia menyambut Hari Kebebasan Akhbar hari ini. Budaya kebebasan akhbar di mana-mana negara sebenarnya terletak pada konsep kebebasan maklumat. Sejauhmanakah negara kita mengamalkan konsep itu dan seterusnya menyuburkan lagi amalan demokrasi?
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia yang dinilai Kalangan Wartawan Tanpa Sempadan menunjukkan tahap yang tidak memberangsangkan.
Pada tahun 2006, Malaysia berada di kedudukan ke-92 dan kemudiannya tangga itu semakin meningkat ke tahun seterusnya.
Pada tahun 2007, negara berada pada kedudukan ke-124 dan pada 2008 di tangga ke-132. Adakah ini menunjukkan kita semakin mengenepikan kebebasan akhbar?
Pada ketika pemerolehan maklumat menjadi prinsip yang penting, maka hanya dengan sedikit keterbatasan, usaha ini cukup untuk memberi kuasa kepada rakyat bagi memastikan kerajaan masing-masing lebih bertanggugjawab berdasarkan maklumat yang mereka miliki.
Kesan keseluruhannya sangat positif, menyebabkan birokrasi perlu ditadbir urus secara telus, cekap dan berkesan serta pengundi mendapat maklumat yang mencukupi.
Di samping itu, kebebasan maklumat juga mampu mengurangi amalan rasuah dan salah laku dalam pentadbiran lain.
Tidak keterlaluan jika dikatakan sistem demokrasi sangat memerlukan kekebasan akhbar. Selain kebebasan akhbar, faktor-faktor lain turut menyumbang terhadap kehancuran sistem demokrasi termasuklah masalah sosial, krisis ekonomi dan amalan rasuah.
Perebutan kuasa politik juga salah satu daripadanya yang secara langsung mencabar keupayaan media dalam usaha mengamalkan kebebasan mencetak, menyiar dan menyuarakan maklumat.
Dalam masa sama media tertakluk kepada pengaruh, arahan malah sekatan dan ugutan pihak-pihak yang memegang tampuk kekuasaan.
Kerajaan Negeri Selangor dan Inisiatif FOI
Kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) sedang mengambil beberapa inisiatif dalam membudayakan kebebasan akhbar. Usaha proaktif ini dilihat melalui pembentukan jawatankuasa khas untuk mengemaskini gagasan mengenai kebebasan maklumat yang dipengerusikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong.
Jawatankuasa yang dibentuk pada awal 2009 itu dianggotai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan masyarakat awam. Ia adalah antara beberapa jawatankuasa khas yang dibentuk bagi memantau usaha dan dasar pembaharuan, termasuk Jawatankuasa Aduan dan Pembaharuan Kerajaan Tempatan.
Jawatankuasa ini juga sedang mengkaji kemungkinan merealisasikan pembentukan undang-undang berupa Akta Kebebasan Maklumat (FOI Act), yang merupakan projek pertamanya. Rang undang-undang mengenainya dijangka dibentang dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor kelak.
Cadangan mewujudkan FOI – sebahagian daripada Manifesto Pilihan Raya PR didorong oleh keperluan mewujudkan; ketelusan dan kecapaian yang lebih luas terhadap maklumat supaya dapat dijanakan sistem pantau dan baiki; kebertanggungjawaban dan keterlibatan orang ramai dalam dasar membuat keputusan.
Satu lagi projek yang bakal dilaksana ialah Hari Kebebasan Akhbar Dunia yang bertujuan memperingati kepentingan kebebasan akhbar melakukan penyiasatan dan melaporkan maklumat secara bebas dan bertanggungjawab.
Program Dirancang
Hari Kebebasan Akhbar Selangor “Kebebasan Maklumat : Hak Untuk Memiliki” dijangka diadakan pada 19 Mei ini (Selasa) bertempat di Auditorium Pusat Sivik Petaling Jaya, Selangor.
Antara program yang dirancang ialah Diskusi dan Konsultasi Awam terhadap Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat.
Panel diskusi ini akan berusaha menyatukan seluruh tenaga pakar untuk membincangkan harapan dan cabaran yang terkandung dalam Rang Undang-undang tersebut. Pandangan daripada orang awam juga tidak terkecuali untuk diberi pertimbangan wajar untuk dikemukakan dalam pembentangan Rang Undang-undang berkenaan.
Kerajaan negeri mempelawa mereka yang terdiri daripada; wakil media dan pengamal media, pertubuhan masyarakat atau individu, ahli akademik, pembuat dasar di peringkat negeri dan persekutuan, sektor swasta, Ahli Parlimen dan Adun, Ahli Majlis dan pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk hadir mengambil bahagian dalam dialog dan konsultasi awam yang akan diadakan ini. – NOOR ALLIA KASSIM

