Selangor Bentang Bajet Berimbang
Monday, 29 December 2008 | Ruangan: RencanaSelangor memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion dalam Bajet 2009 dengan 51 peratus daripada jumlah itu dicadangkan untuk perbelanjaan pembangunan dan 49 peratus perbelanjaan mengurus.
Bajet yang dibentangkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 Oktober lalu itu dianggap bajet berimbang dengan pertambahan RM0.1 bilion berbanding pada 2008.
Prestasi Ekonomi
Ekonomi Selangor dijangka berkembang pada kadar 5.7 peratus pada 2009 berbanding 5.8 peratus tahun ini.
Abdul Khalid berkata prestasi ekonomi Selangor tahun ini masih mengembang melebihi pertumbuhan ekonomi negara walaupun terdapat masalah hutang subprima yang berpunca akibat kejatuhan hartanah di Amerika Syarikat.
Katanya, kadar pertumbuhan 5.7 peratus itu akan dipantau dan disemak dari masa ke semasa bagi memastikan prestasi ekonomi negeri berada pada landasan yang betul.
Mengikut unjuran Malaysian Institut of Economic Research (MIER), pertumbuhan ini meningkatkan nilai tambah KDNK negeri kepada RM118.2 bilion pada 2009, berbanding hanya RM111.9 bilion tahun ini.
Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mensasarkan jumlah pelaburan melebihi RM12 bilion pada tahun depan dengan sejumlah RM35 bilion sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
“Saya yakin dengan tadbir urus kerajaan yang cekap dan telus yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat, Selangor mampu membawa masuk pelaburan baharu berjumlah lebih RM12 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata selain meneruskan program sedia ada dalam menarik pelabur, kerajaan negeri juga menubuhkan Industrial Park Management Group (IPMG) dengan permulaan di tiga kawasan iaitu kawasan perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, kawasan perindustrian Seksyen 15, Shah Alam dan Taman Sains Selangor, Kota Damansara.
Tambahnya, IMPG boleh diperluas ke seluruh kawasan perindustrian sekiranya ia berjalan lancar.
Ekonomi Selangor terus dipacu sektor perindustrian yang menyumbang lebih 58 peratus kepada KDNK negeri pada tahun ini. Nilai sektor ini dijangka meningkat kepada RM71.7 bilion pada tahun depan berbanding RM68.6 bilion pada 2008.
Manakala sektor perkhidmatan yang menyumbang 38 peratus KDNK negeri, dijangka terus merancakkan pertumbuhan ekonomi Selangor.
Peningkatan nilai tambah dalam sektor ini dijangka meningkat daripada RM45.2 bilion pada 2008 kepada RM47.8 bilion tahun depan.
Sektor pertanian yang merupakan penyumbang terkecil kepada pertumbuhan ekonomi Selangor dijangka tumbuh pada 3.3 peratus pada 2009 berbanding 3.1 peratus pada tahun ini.
Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)
Kerajaan negeri masih mengkaji cadangan memberikan tambahan cuti bersalin 30 hari kepada kakitangan awam wanita dan 14 hari kepada suami mereka.
Cadangan itu adalah antara enam program yang dirancang kerajaan negeri dalam pelaksanaan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) fasa kedua yang dijangka bermula pada Januari tahun depan.
Abdul Khalid berkata pertimbangan juga sedang dibuat untuk memberikan cuti sebulan dan elaun gantian gaji penuh kepada kakitangan wanita yang kematian suami.
Tiga program lain yang dijangka diperkenalkan ialah caruman takaful kepada orang kurang upaya dan anak yatim, bantuan kepada peniaga muda serta bimbingan perniagaan kepada belia.
Tujuh program dalam fasa pertama agenda MES diumumkan kerajaan negeri pada sambutan 100 hari pentadbiran kerajaan pada 20 Jun lepas iaitu Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), bekalan air percuma 20 meter padu, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Mesra Usia Emas, Program Peningkatan Pendapatan Hasil daripada Bahan Batuan dan Mineral, Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) dan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.
Pembangunan Belia dan Sukan
Bagi memberi pengiktirafan meluas kepada golongan belia bagi memainkan peranan sebagai pemimpin dan pembuat dasar, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta bagi mewujudkan Majlis Belia dan Sukan Negeri agar ia dapat menyediakan pelbagai program khusus kepada belia di semua peringkat.
Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan berjumlah RM2 juta bagi tujuan latihan kemahiran dan teknikal melalui kursus jangka pendek dan jangka panjang bagi memberi peluang kepada belia bersaing mencari pekerjaan dalam pasaran terbuka.
Menyentuh mengenai pembangunan sukan, kerajaan negeri juga mahu kecemerlangan sukan di negeri ini diteruskan melalui perancangan yang teliti, persediaan latihan dan program serta penganjuran lebih banyak pertandingan sukan peringkat negeri.
Pembangunan Masyarakat
Mulai tahun depan juga, kerajaan negeri mahu memastikan pelbagai bentuk masyarakat di Selangor mendapat perhatian dan menerima bantuan sewajarnya.
Tidak ketinggalan, usaha kerajaan negeri memajukan masyakarat Orang Asli. Untuk tujuan itu, suatu penilaian semula hendak dilakukan terhadap masyarakat Orang Asli meliputi pembangunan ekonomi dan sosial mereka.
Menerusi bengkel yang dirancang diadakan pada pertengahan 2009, satu kertas dasar akan dihasilkan, yang bakal digunakan dalam usaha membantu masyarakat itu agar sama-sama menikmati limpahan pembangunan di negeri ini.
Dalam usaha memperkasa golongan wanita dan keluarga, kerajaan negeri berpendapat pelbagai kemahiran dan ilmu hendaklah diberikan kepada golongan pekerja wanita, ibu tunggal, pekerja ladang, wanita Orang Asli, warga emas dan suri rumah.
Pertingkat Hasil Negeri
Sementara itu, usaha mempertingkat hasil pendapatan negeri adalah antara strategi Bajet 2009 selain agenda MES yang menjadi tema bajet kali ini.
Kerajaan negeri telah menubuhkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang beroperasi sebagai syarikat kerajaan yang memberi penumpuan kepada aktiviti perniagaan pasir.
Pendekatan yang digunakan ialah dengan tidak memberi permit kepada syarikat-syarikat lain dan individu untuk menjalankan aktiviti itu sebaliknya memberi peluang kepada KSSB melaksanakan operasi.
“Langkah ini dijangka mampu meningkatkan lagi hasil kerajaan negeri di samping membendung aktiviti-aktiviti yang negatif seperti kegiatan mencuri pasir yang semakin berleluasa kini,” kata Abdul Khalid.
Kerajaan negeri juga melaksanakan program mengutip tunggakan cukai secara tuntas dalam usaha meningkatkan hasil pendapatan negeri.
Bagi menggalakkan pembayaran cukai, kerajaan negeri juga menggunakan pendekatan positif dengan tawaran remitan atau diskaun sehingga 30 peratus kepada pembayar cukai tanah yang dikenakan caj denda lewat pembayaran.
Hasil kerajaan negeri dijangka bertambah kukuh dengan pengenalan caj tambahan terhadap perlanjutan tempoh bayaran premium. Malah hasil juga akan meningkat ekoran keputusan tidak menimbang semua permohonan rayuan pengurangan premium kecuali individu yang layak dipertimbangkan sahaja.
Pembangunan Modal Insan
Dalam usaha membangunkan modal insan yang juga menjadi strategi Bajet 2009, perhatian yang serius akan diberikan bagi membentuk modal insan yang berkualiti serta seimbang daripada segi jasmani, rohani dan intelek.
Kerajaan negeri percaya program yang dikenali dengan nama SPIES (Spritual, Fizikal, Intelektual, Emosi dan Sosial) dapat memulakan kelahiran modal insan yang cemerlang.
Mutu Penyampaian Perkhidmatan Awam
Sistem penyampaian perkhidmatan awam juga diberi perhatian kerajaan negeri. Setiap jabatan kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan memperkemas sistem pemantauan aduan masing-masing dengan mengadakan unit aduan yang khusus dan mengadakan mesyuarat pemantauan bagi menyelesaikan setiap aduan pelanggan.
Menyentuh mengenai masalah sosial yang semakin berleluasa, kerajaan negeri berpendapat betapa perlunya operasi rumah urut dan pusat hiburan dipantau agar ia mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh PBT.
Mulai tahun 2008, semua PBT di Lembah Klang dikehendaki menjalani kajian bagi mewujudkan Zon Pusat Hiburan yang menempatkan pusat-pusat hiburan di kawasan khas yang diwartakan sebagai zon pusat hiburan untuk memudahkan pemantauan dilaksanakan oleh pihak PBT dan polis.
Pengurusan Perbelanjaan Berhemat
Bajet 2009 ini turut meletakkan strategi mengurus perbelanjaan yang cekap dan berhemat. Sebagai usaha untuk mengurangi perbelanjaan, kerajaan negeri melaksanakan budaya perbelanjaan berhemat dengan memastikan semua perbelanjaan dibuat secara lebih berhati-hati.
Beberapa surat pekeliling dikeluarkan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor yang menggariskan panduan perbelanjaan berhemat dengan memaklumkan kepada ketua jabatan, badan berkanun, agensi kerajaan negeri dan PBT berkenaan dengan langkah-langkah tambahan yang perlu dilaksanakan bagi mengawal perbelanjaan awam.
Memantapkan Pembangunan Negeri
Strategi terakhir yang digariskan dalam bajet kali ini ialah memantapkan pembangunan negeri Selangor.
Pencapaian membanggakan negeri Selangor yang dilihat ke hadapan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia perlu disertai komponen kerohanian, emosi dan sosio-budaya.
Selain itu, isu-isu perbandaran akan diberi perhatian antaranya pembangunan guna tanah dan hartanah negeri Selangor perlu diubah bagi memastikan pembangunan yang lebih teratur dan mesra alam.
Pendapat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Bajet 2009 dibentangkan Isnin lalu disifatkan sebagai satu bajet berimbang dan mementingkan kebajikan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknonologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata ia adalah bajet berhemah dan seimbang dengan tidak menumpukan kepada kumpulan tertentu sahaja.
“Jika diteliti secara keseluruhan, semua sektor mendapat manfaat di sebalik penambahan RM0.1 bilion berbanding peruntukan yang lepas,” katanya.
Rodziah berkata cadangan untuk melaksanakan cuti bersalin 90 hari kepada kakitangan awam wanita dapat membangunkan institusi kekeluargaan.
“Kita jangan lihat pemberian cuti itu semata-mata seperti memberi masa rehat yang panjang kepada golongan wanita. Ia sebenarnya dapat mengimbangi hubungan antara ibu dan anak,” tambahnya.
Beliau berkata penambahan cuti 30 hari itu tidak akan menghalang kakitangan wanita untuk lebih berproduktiviti dengan mengamalkan 5 hari bekerja dan 7 hari perkhidmatan.
Selain itu agenda MES fasa kedua yang sebahagiannya berada di bawah portfolio beliau menjadi satu cabaran positif bagi Rodziah untuk memperkemaskan lagi penyampaiannya bagi faedah rakyat Selangor keseluruhannya.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, bajet yang dibentangkan Menteri Besar itu adalah bajet yang sihat.
“Bajet ini banyak bertumpu kepada kepada kebajikan rakyat di samping usaha kerajaan membangunkan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata bajet kali ini turut memberi tambahan peruntukan untuk PBT dan penambahbaikan kemudahan awam.
“Ia selari dengan konsep kita hendak mewujudkan sebuah negeri yang lebih hijau dan selamat,” katanya.
Tambahnya, Bajet 2009 turut memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat berbanding bajet 2008. – NOOR ALLIA KASSIM


saya ni wakil kampung sungai balak kajang selangor. saya nak bagi tahu orang yang patut bertanggungjawab dalam hal-hal berkaitan tentang masalah kampung saya ni. contohnya kampung saya ni apabila hujan lebat mesti di naiki air kerana sistem pengaliran air yang tidak baik. jalan utama dan jalan kampung banyak yang berlubang-lubang. tebing-tebing sungai banyak yang runtuh. persoalannya bila agaknya wang peruntukkan yang di war-warkan tu dapat diagihkan kepada kampung-kampung atau kawasan-kawasan yang bermasalah seperti di kampung saya ni????. sebabnya saya tak nak la orang kampung saya memandang serong kepada perjuangan kita ni. cakap wang peruntukkan berbilion ringgit. tapi kampung saya tetap macam ni jugak. kalau nak harap pemerintahan lama ibarat rm1000 peruntukkan yang diberi tapi cuma yang digunakan suku je untuk orang kampung, lain masuk perut die je. jadi saya berharap bajet yang dah ade tu cepat la edarkan, org biru dan merah ni ade je nak cari salah org pr ni.