Selangor Sasar Muncul Antara Kelab Terkuat Asia Menjelang 2015

Monday, 29 December 2008 | Ruangan: Rencana

Pasukan Bola Sepak Selangor di bawah teraju pengurus pasukan, Zakaria Ab Rahim menjadikan tahun 2015 sebagai sasaran untuk muncul sebagai salah sebuah kelab terkuat di Asia.

Bagi Zakaria yang mula menyandang jawatan itu pada 1 Jun lalu, hasrat itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

Menurut Zakaria, pemain-pemain bola sepak Selangor mahupun negeri-negeri lain sebenarnya mampu menandingi kehebatan pemain bola sepak antarabangsa.

“Sebenarnya orang kita ini bermain bola sama saja dengan orang Jepun, Korea mahupun Eropah. Cuma mentaliti kita ini perlu dibetulkan, gaya pengurusan yang profesional perlu ditingkatkan, lebih telus dan disiplin.

“Kalau kita ikut semua ini saya tidak nampak ada sebarang masalah. Kita berkebolehan jadi arkitek, jurutera sama seperti orang Eropah, kenapa pula pemain kita tidak boleh jadi pemain terkenal dunia,” katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

zakaria01

Zakaria berkata bagi pasukan Selangor, beliau akan menonjolkan pemain-pemain muda bagi menggalas cabaran dan pengalaman untuk membawa pasukan itu sebagai antara pasukan terbaik Asia pada 2015.

Apa yang penting kata Zakaria, mentaliti pengurusan pasukan dan pemain perlu diubah.

“Pengurusan pasukan ini seperti ibu bapa. Kalau ia maju ke depan, pemain-pemain yang diibaratkan anak-anak ini akan mengikuti ibu bapa mereka.

“Tidak kira pengurusan mahupun pemain, mereka perlu berfikir luar dari kebiasaan,” katanya.

Zakaria berkata walaupun sasarannya itu mungkin ditertawakan orang, beliau tetap mengukur baju di badan sendiri. Jelasnya, beliau mahu membawa pasukan Selangor berjaya di peringkat negara-negara Asean sebelum ke peringkat Asia dan dunia.

“Berdikit-dikit dahulu dan gunakan laluan yang betul,” kata Zakaria.

Beliau berkata peminat bola sepak di negara ini mengenali pasukan Selangor sebagai pasukan terkuat dan tersusun, mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan menjadikannya sebuah pasukan yang berdaya saing.

“Kalau tanya saya, pasukan Selangor dari dulu hingga kini masih lagi sebuah pasukan terkuat dan saya tidak nampak kalau Selangor tidak akan terus berjaya,” ujarnya.

Katanya, pihak pengurusan pasukan memberi ruang dan peluang sebaik-baiknya kepada pemain untuk meningkatkan prestasi mereka.

Pihaknya juga sudah mengatur program bagi meningkatkan mentaliti dan motivasi di kalangan pemain. Bagi tempoh jangka masa panjang, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Hotel Carlton Holiday untuk menyediakan peluang belajar mengenai pengurusan hotel, bisnes, katering dan sebagainya.

Jelas Zakaria, kursus-kursus sedemikian penting bagi menyediakan pemain dengan kemahiran dan ilmu yang dapat digunakan sekiranya mereka tidak lagi menceburi sukan bola sepak.

“Selain daripada itu, kita juga akan tingkatkan aspek kerohanian mereka,” katanya.

Zakaria berkata pihaknya juga sedang menimbang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab sama ada di Australia, Indonesia, Korea atau Jepun sebagai persediaan untuk Piala Sumbangsih.

Beliau yakin pasukan Selangor yang menjadi pasukan paling disegani, mampu pergi jauh seterusnya muncul sebagai antara pasukan terbaik Asia pada masa akan datang.

Sementara itu, Zakaria berkata pemain import seharusnya dibenarkan bermain dalam mana-mana pasukan di Malaysia bagi memberi pendedahan kepada pemain tempatan.

“Pada saya, kalau kita hendak berjaya di peringkat Asia kita perlu ada bantuan daripada pihak luar. Saya rasa kecewa dengan keputusan (tidak membenarkan pemain import bermain) ini,” katanya.

Beliau berharap gelaran Selangor sebagai pasukan gergasi di Malaysia dapat diteruskan pula ke peringkat Asia.- NOOR ALLIA KASSIM/Foto AHMAD FADHLI YAHYA