Teresa Kok Jelaskan Isu Azan, Tulisan Jawi, Jais
Monday, 29 December 2008 | Ruangan: RencanaDua minggu lalu, negara dikejutkan dengan tangkapan terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membabitkan tiga individu. Mereka ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.
Teresa ditahan pada lewat malam 12 September lalu dengan alasan bagi memelihara ketenteraman awam di sebalik kenyataan beliau yang didakwa boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Teresa bagaimanapun dibebaskan selepas tujuh hari manakala Tan pula ditahan kira-kira 18 jam sebelum dibebaskan pada 13 September. Sementara, Raja Petra ditahan selama dua tahun di Pusat Tahanan Kamunting.
Ikuti wawancara dengan Teresa yang antara lain menyentuh pengalamannya ditahan selama tujuh hari dan penjelasan beliau berhubung dengan isu yang dikaitkan dengannya iaitu azan, tulisan jawi dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Komen berhubung penahanan YB baru-baru ini di bawah ISA selama tujuh hari?
Penahanan saya ini memang tak masuk akal sekali. Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Kementerian Dalam Negeri, mereka kebanyakannya mengikut tuduhan yang dilemparkan terhadap saya, oleh (kolumnis) Zaini Hassan dalam Utusan Malaysia yang disiarkan beberapa hari sebelum saya ditahan di bawah ISA.
Ini kerana sepanjang tempoh saya ditahan, hanya tiga isu yang dibangkitkan, semua ini (terkandung) dalam artikel beliau dalam Utusan Malaysia.

Tiga tuduhan itu tentang azan, JAIS dan juga tulisan jawi. Ini semua tuduhan yang lemah sekali khususnya tentang JAIS dan juga azan yang saya langsung tak terlibat, tak ucap apa-apa pun dalam isu ini.
Dua hari selepas saya ditahan, imam dalam masjid yang dikatakan di Bandar Kinrara itu pun keluar menafikan bahawa saya terlibat dalam petisyen penduduk. Jadi kalau saya innocent kenapa polis tak bebaskan saya daripada ISA. Sebaliknya penahanan saya itu dilanjutkan sehingga satu minggu.
Pada hari yang saya dilepaskan itu saya baca satu laporan dalam New Straits Times (NST), bahawa seorang pegawai daripada masjid di Bandar Kinrara, iaitu masjid yang terlibat dalam kontroversi itu dipanggil oleh pihak polis Dang Wangi untuk memberikan keterangan.
Ini bermaksud selepas saya ditahan sehingga hari keenam, baru pegawai di masjid berkenaan dipanggil untuk memberi keterangan. Apakah siasatan polis ini? Tahan orang dulu lepas itu baru siasat, tahan di bawah ISA pula.
Isu seperti ini begitu kecil sekali. Bila saya nafikan dalam sidang akhbar (selepas mesyuarat Exco pada 10 September) itu, kalau (betul) saya nak buat petisyen, minta penduduk buat petisyen, saya takkan buat petisyen kepada (Datuk Mohamad ) Satim (Diman), seorang Adun pembangkang, buat apa. Kalau saya nak betul-betul tolong mereka, saya mesti cari bantuan daripada Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, saya (sebagai) Exco, Exco dengan Exco lah. Jadi ini menunjukkan penahanan saya tak masuk akal sekali.
Bagaimana pula dengan isu tulisan jawi yang turut dikaitkan dengan penahanan YB?
Isu tulisan jawi itu pula isu lama. Yang mana di kawasan Kuala Lumpur, di tempat 95 peratus penduduk bukan Islam yang tak tahu jawi langsung, papan tanda bertulisan jawi yang baru dengan tiang yang baru diletakkan di kawasan kediaman di Taman Seputeh dan Taman OUG. Apa masuk akal ke.
Jadi bagi penduduk di sana, mereka pun kata, selalu mereka minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) buat itu ini memperbaiki infrastruktur. Selalu permintaan mereka tidak dipedulikan, tetapi sekarang semua signboard di kawasan mereka ditukar, tukar tiang pula.
Dan di seluruh Kuala Lumpur akan tukar, jadi penduduk membantah. Jadi kami pun menghantar memo kepada DBKL, kerana kita wakil rakyat menyampaikan pandangan persatuan penduduk dan penduduk di kawasan-kawasan terlibat.
Lepas pilihan raya Mac lalu, DBKL sendiri yang turunkan semua papan tanda tulisan jawi.
Mereka tahu kerana penduduk adalah pembayar cukai kepada DBKL, jadi kalau penduduk rasa ini tak perlu tukar, jadi DBKL perlu dengar suara mereka. Apa kena mengena dengan saya. Saya ini wakil rakyat, sampaikan pandangan dan hasrat hati kepada DBKL sahaja.
Jadi secara peribadi, YB sendiri tidak menghalang tulisan jawi ini?
Tidak menghalang, kalau penduduk tidak menentang dan kalau ia diletakkan pada tempat yang orang tahu baca. Kalau orang tak tahu baca, 95 peratus orang tak tahu baca buat apa letak di situ. Misalnya kalau di satu kampung Melayu, yang tulisan Tamil dimasukkan dalam papan tanda jalan, yang penduduk mungkin membantah kerana pembaziran wang rakyat, dan mereka tak tahu baca. Mereka kata apakah perlu papan tanda jalan seperti itu di tempat mereka. Ini adalah bukan kerana saya menentang tulisan jawi ke apa ke, ini tidak ada kena mengena.
Tuduhan seperti ini kalau sensitif pun panggil saya ke balai polis untuk memberi keterangan memberi kenyataan cukuplah. Kenapa masukkan saya di bawah ISA dengan tuduhan saya mencetuskan ketegangan dan pergaduhan antara kaum dan agama.
Wah ini satu kesalahan yang begitu dahsyat sekali, apa yang telah saya buat? Mengenai azan dan JAIS itu, saya tidak buat langsung.
Saya rasa saya ditahan adalah kerana Umno sendiri mahu menutupi masalah dalaman parti mereka, khususnya selepas kenyataan yang dibuat oleh (Datuk) Ahmad Ismail itu telah mencetuskan banyak bantahan di seluruh negeri terhadap kenyataan beliau.
Jadi mereka mahu cari ‘seekor kambing hitam’ dan mereka mahu cari seorang di negeri Pakatan, lebih baik Selangorlah, lebih baik Cinalah, lebih baik dari DAPlah untuk mengukuhkan gambaran orang Melayu bahawa ‘nah ini orang DAP ini, ini pemimpin DAP ini, ini yang anti-Islam, ini yang anti-Melayu. Mereka cuba menyampaikan mesej seperti ini kepada rakyat jelata.
Tetapi isu yang dibangkitkan begitu remeh-temeh sekali, yang membangkitkan kemarahan banyak orang di seluruh negeri. Bila saya keluar pada 12 September, saya pergi ke satu masjid di Teratai yang mana saya dijemput untuk memberi keterangan tentang penahanan ISA saya bersama dengan Mohamad Sabu. Mereka (juga) doa tentang penyalahgunaan ISA dan minta Tuhan bebaskan kita daripada ISA.
Jadi berhubung dengan petisyen azan, YB berpendapat itu satu tuduhan yang tak berasas?
Langsung tak berasas. Kalau tidak, imam ni tak akan keluar cakap (bagi kenyataan). Kerana dia berani untuk bercakap benar tentang kes saya kerana saya memang tak terlibat. Bila saya keluar saya mahu melawat dia.
Sehingga sekarang pun saya tak tahu di mana letaknya masjid itu, kerana itu bukan di kawasan Kinrara, (tetapi) di kawasan Seri Serdang. Di bawah kawasan parlimen Puchong ada dua kawasan DUN, satu ialah Kinrara dan satu ialah Seri Serdang. (Kejadian) ini adalah di bawah Seri Serdang, itu sebabnya penduduk tulis surat kepada Satim.
Apa perasaan YB semasa ditahan?
Terkejut sangat kerana ini macam penculikan yang berlaku ke atas saya. Tiba-tiba, saya ditarik keluar daripada kereta saya di hadapan kondominium saya. Satu kereta di hadapan, satu di belakang. Mereka ketuk pintu minta saya turunkan tingkap dan kata mereka dari Bukit Aman, saya sekarang ditahan di bawah ISA pasal 73 (1).
Tiba-tiba saya ditahan di bawah ISA. Orang yang silap cakap, orang yang memang mengapi-apikan hubungan di antara kaum dan agama seperti Utusan Malaysia, seperti Zaini, seperti Ahmad Ismail, mereka tidak ditahan di bawah ISA. Saya yang ditahan.

Kita memang ada banyak undang-undang bagi kerajaan untuk mendakwa mereka yang bersalah, membabitkan kesalahan yang besar, kenapa kerajaan tidak gunakan undang-undang yang sedia ada tapi ingin mendakwa di bawah ISA.
Layanan yang YB terima dalam tempoh 7 hari itu.
Layanan itu, (bilik) tempatnya 6 kaki x 8 kaki, ini saiz bilik dia, dua katil, ada satu tandas, maksudnya ini memang satu tempat yang amat sempitlah. Jadi saya di bawah perkurungan persendirian, tiap-tiap 15 minit, pegawai polis wanita tengok saya sama ada sudah mati atau tidak (ketawa).
Mereka memang bagi makananlah, makanan dan minuman, tapi apa yang kita boleh harapkan dalam keadaan penjara seperti itu. Itu sebabnya saya kata ‘aiyo ini macam makanan…yang sama seperti anjing’ atau semua yang diheboh-hebohkan oleh Utusan Malaysia.
Bagi saya Utusan Malaysia ini, memang selama ini memang cuba selalu menghasutkan hubungan di antara kaum, mengapi-apikan isu perkauman, dan mereka selalu ingin menjadikan pemimpin memburuk-burukkan imej pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Kita lihat itu sebabnya PR telah melancarkan kempen boikot Utusan Malaysia. Dan saya lihat kenyataan yang disiarkan oleh suratkhabar sekarang oleh (Datuk Seri) Syed Hamid (Albar) ke, atau Utusan Malaysia mereka cuba mengalihkan perhatian orang ramai daripada (isu) penyalahgunaan ISA atau daripada isu penahanan ISA ini kepada makanan anjing. Kata ‘oh perkataan tak patut digunakan’…tapi ini bukan isu, mereka cuba alihkan semua ini dan kata ‘saya silap cakaplah’, ‘diputar belitlah’, ‘(itu) kenyataan saya sendirilah’, saya rasa ini semua tak masuk akal.
Jadi sebenarnya apakah yang YB maksudkan disebalik kenyataan mengenai makanan itu?
Memang teruklah ..dalam ingatan saya dalam satu minggu saya pernah makan dua keping ayam, ini adalah apa yang saya ingat kerana semalam (22 September) YB T.Murugiah datang berjumpa dengan saya dengar aduan saya itu, saya senaraikan apa yang saya ingat. Jadi bagi saya ini memang tidak memberikan kita nutrition yang cukup sebagai tahanan, itu sebabnya bila saya cakap dengan doktor, doktor pun bagi saya supplemen, pil vitamin dan semua itu untuk menguatkan kesihatan saya, menjaga kesihatan saya.
YB didakwa mengeluarkan kenyataan mengenai makanan yang dihidangkan semasa ditahan sebagai ‘similar to dog food’. Komen YB?
Ia bukan isu pokok, isu pokoknya ialah makanan memang teruk, kerana tempat itu sebenarnya untuk penjenayah, saya bukan penjenayah, apa salah yang telah saya buat? Penahanan saya itu sebenarnya telah mendatangkan kerugian bagi negeri Selangor.
Saya ada beberapa rancangan untuk menarik pelaburan, termasuk juga dengan promosi pelaburan ke Taiwan pada 12 Oktober, saya terpaksa membatalkannya kerana saya tak tahu bila saya keluar.
Pada hari saya ditahan, pada hari itu saya sebenarnya menghadiri seminar perdagangan di antara negara China dengan Malaysia yang dihadiri 300 orang pelabur dari China untuk membuat bisnes di Malaysia.
Jadi saya memberi satu persembahan tentang peluang pelaburan di Selangor dengan bahasa kantonis dengan mereka. Pada hari keesokan (13 September) saya sepatutnya berjumpa dengan 100 orang pelabur daripada negeri lain China yang juga untuk memperkenalkan peluang pelaburan di Selangor.
Tapi saya tak sangka saya ditahan di bawah ISA. Jadi dalam persembahan saya, saya pernah berkata Malaysia ini mempunyai kestabilan politik, memang mempunyai kestabilan politik, kalau kita lihat keadaan di negeri-negeri jiran kita, di rantau Asean, Malaysia ini memang agak baik environment dia.
Bayangkanlah gambaran yang kita beri kepada pelabur dari China itu, selepas mereka dengar persembahan saya, bahawa negara kita selamat, ada kestabilan politik, hari yang kedua, gambar saya keluar dalam semua suratkhabar. Saya ditahan di bawah ISA. Ini cukup menakutkan mereka. Jadi bila saya ditahan, saya dah banyak kali cakap dengan pegawai special branch dan juga polis saya kata menahan saya sebagai orang yang tidak bersalah memang satu dosa.
Dalam bulan Ramadan, bulan suci pula…saya tak bersalah. Saya kata kalau menahan saya ini tentu akan mengurangkan lagi sokongan orang ramai terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Bila saya keluar, saya dapati di negeri Selangor, sudah ada tiga program yang dianjurkan oleh beberapa pihak, termasuk NGO, berkaitan dengan penahanan ISA. Pada waktu sama di Pulau Pinang dan Perak, juga ada program ceramah yang sama. Jadi ini menunjukkan apa? Kesedaran dan juga kemarahan orang ramai terhadap penggunaan ISA.
Semasa dalam tahanan apa yang YB fikirkan?
Lampu (bilik) saya menyala 24 jam. Hari pertama memang saya bosan, selain daripada berdoa dan bersembahyang apa lagi yang saya boleh buat? Tapi hari kedua saya minta bacaan, mereka bagi saya kitab, okey, sekurang-kurangnya ada kitab yang saya boleh baca dan mengurangkan fikiran saya yang merayau-rayau.
Semasa penahanan YB, kita lihat parti Gerakan, MCA menyatakan yang ISA ini perlu dikaji. Jadi YB lihat bagaimana sokongan daripada dua parti komponen BN itu pula?
Saya rasa bagi MCA dan Gerakan mereka sudah sedar. Terdapat juga wakil rakyat di Pulau Pinang juga memberikan sokongan tentang penentangan penggunaan ISA. Saya rasa ini adalah satu tanda yang positif yang menunjukkan pemimpin-pemimpin BN pun dan juga parti komponen BN juga tidak senang untuk lihat ISA diguna begitu sahaja terhadap wakil rakyat.
Saya gembira untuk lihat mereka semua keluar menentang tapi saya juga berharap mereka juga boleh betul-betul bersama dengan kita untuk bersuara, bercakap di parlimen. Selalu mereka cakap di suratkhabar Cina sahaja, lepas itu dalam parlimen senyap sahaja, dalam kabinet senyap sahaja.
Pandangan YB ISA perlu dimansuhkan?
Mesti dimansuhkan. Terdapat lebih 60 orang yang ditahan di Pusat Tahanan Kamunting.
Apakah perlu penggunaan ISA, kalau macam pemimpin Hindraf, ataupun Raja Petra, kalau mereka betul-betul bersalah kerajaan boleh mendakwa mereka di mahkamah.

Apa rasionalnya untuk menahan mereka, mengurung mereka di pusat tahanan Kamunting. Dan juga bagi orang Umno yang betul-betul selalu mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengapi-apikan hubungan perkauman, kenapa selalunya mereka tidak diambil tindakan.
Ini adalah undang-undang yang diguna oleh BN untuk menyusahkan ataupun untuk menentang pemimpin politik selain daripada BN.
Setakat ini bagaimana reaksi yang YB terima setelah ditahan ISA?
Semua sokong saya, mana-mana saya pergi sekarang saya lebih dikenali (ketawa) dan saya rasa sebenarnya ramai orang termasuk Muslim, Kristian, Buddhist, Hindu, ada banyak berdoa kepada kami, Raja Petra, saya dan tahanan ISA yang lain.
Saya rasa pada mulanya kerajaan BN dia mahu mengadakan operasi lalang 2 seperti apa berlaku dalam tahun 1987. Tapi zaman sudah berubah, apa yang berlaku 21 tahun yang lepas takkan orang sekarang setuju, sekarang lebih ramai lulusan universiti dan kolej selain kemudahan internet yang dapat menyebarkan maklumat dengan begitu cepat sekali. Jadi orang lebih tahu fikir, orang ramai tidak mudah ditipu dengan propaganda BN lagi.
Selepas ini ada apa-apa tindakan yang akan diambil?
Selain saya sendiri yang sudah jadi mangsa penahanan ISA, kita lihat wakil rakyat di negeri Selangor dan Kuala Lumpur, di kalangan PR ada ramai yang telah menjadi mangsa tahanan ISA.
Saya rasa adalah penting bagi kita untuk bersama berganding bahu mengadakan kempen yang lebih kuat lagi untuk menghulurkan bantuan kepada tahanan-tahanan ISA yang berada di Kamunting.
Peguam saya juga sedang berbincang untuk saman Utusan Malaysia, Zaini dan juga kerajaan Malaysia untuk ganti rugi. Saya seorang Exco dan juga Ahli Parlimen begitu banyak kerja menunggu saya. Tiba-tiba saya ditarik masuk begitu saja, macam mana saya hendak menjalankan tugas saya.
Seruan YB kepada kerajaan berhubung ISA?
Saya rasa kempen yang lebih gigih harus dibangkitkan, bukan sahaja untuk membangkitkan kesedaran orang ramai, tetapi juga adalah penting untuk memberi tekanan yang lebih kuat lagi dari segi dalaman dan juga dari segi kempen antarabangsa untuk mendesak BN memansuhkan penggunaan ISA. - NOOR ALLIA KASSIM/ Foto AHMAD FADHLI YAHYA


Walau 95 peratus penduduk bukan Islam tetapi mereka tetap orang Malaysia dan masih menetap di bumi Malaysia. Bumi Mlaysia tentunya telah ada bahasa dan budayaanya tersendiri. Kenapa bahasa kaum pendatang yang hendak ditatang dan diserlahkan. Manakala tidak tahu baca Jawi bukan alasan untuk pertikai tulisan Jawi. Saya cukup bimbang dengan sikap imigrantisme ini dalam kalangan rakyat yang begitu makin menebal. Sepatutnya setelah sekian lama di negara ini mereka makin memahaminya tentang adat susila budaya negara ini. Ini bukan negara China atau Hong Kong, ini Malaysia (Tanah Melayu). Golongan yang tidak mengenang sejarah ini perlu diperbetul segera oleh pihak berwibawa. Dibimbangi sesat pembawaannya, terutama pegangan terhadap imigrantisme yang patut ditentang habis-habisan.
ISA pada asalnya digubal utk keselamatan negara dan dianggap akta ini amat baik pada ketika itu. Pada ketika inipun mungkin masih relevan sekiranya penggunaannya tepat dan tidak berunsur jahat, berkepentingan serta tidak disalahguna oleh kerajaan.
Sudah sampai masanya seluruh rakyat Malaysia bersatu padu tanpa mengira anutan agama, warna kulit dan keturunan. Apa yang rakyat akar umbi dapat lihat, Pakatan Rakyat lebih komited untuk merealisasikan agenda ini. Sebaliknya, BN terutama UMNO masih dengan fahaman tegar mereka dan masih meneruskan tradisi mereka iaitu suka melaga-lagakan kaum untuk cuba menunjukkan mereka addalah hero untuk penyokong mereka.
Rakyat Malaysia kini sudah sedar dan tahu, siapakah yang bersifat murni dan siapa yang bersifat busuk. Apapun, keadaan ini masih tidak cukup menyedarkan BN dan UMNO, sebaliknya mereka masih terus berpura-pura dan menipu diri sendiri kononnya mereka masih mempunyai penyokong. Sebenarnya tidak lagi kerana rakyat telah jemu, muak, mual dan menyampah dengan sikap mereka yang suka menghasut, opportunist dan suka memutar belit kenyataa. PRU 13 pasti akan memberikan jawapan yang dinanti-nantikan.
Menyedari senario ini, BN terutama UMNO begitu terdesak sehingga sanggup berbuat apa saja. Mereka tahu, sekiranya mereka kehilangan kuasa, mereka akan berhadapan dengan masalah besar. Sudah pasti hukuman berat menanti mereka atas segala kesalahan, dosa dan kezaliman yang mereka lakukan sepanjang mereka diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara dengan cara yang adil, saksama, telus dan bersih.