ISA Tidak Relevan – Syed Ibrahim

Monday, 29 December 2008 | Ruangan: Rencana

Penahanan tiga individu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco), Teresa Kok, pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 12 September lalu mengundang pelbagai reaksi.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menjadi Exco pertama Selangor yang ditahan menerusi ISA ketika masih memegang portfolio Pelaburan, Perindutsrian dan Perdagangan.

Penahanan beliau dipercayai ada kaitan dengan dakwaan melarang azan di masjid dan surau di sekitar Damasara, Sri Serdang dan Puchong Jaya.

Teresa bagaimanapun menafikan dakwaan beliau ada kaitan dengan isu berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim setelah berbincang dengan Penasihat Undang-undang Negeri Selangor bersetuju menyediakan bantuan guaman bagi Adun Kinrara itu.

syedibrahim

Pada 15 September lalu, Teresa memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi agar dibebaskan daripada ISA melalui notis yang difailkan menerusi firma guaman Messrs S.N.Nair.

Raja Petra yang ditahan ISA buat kali kedua selepas 2001 turut memfailkan habeas corpus supaya dibebaskan daripada ISA dan menyifatkan penahanannya menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara Tan pula dibebaskan selepas kira-kira 18 jam ditahan.

Tindakan menahan ketiga-tiga mereka mengikut ISA dengan alasan untuk ketenteraman awam disifatkan sesetengah pihak tidak boleh diterima.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata penggunaan ISA untuk menahan seseorang tanpa bicara adalah sesuatu yang tidak relevan.

“Pada saya sejak ISA ini digunakan awal-awal lagi ia sudah salah, tambah pula sekarang ini. Ia satu undang-undang tanpa bicara yang tidak membuka ruang untuk pembelaan, tidak ada ruang untuk mahkamah atau untuk mengupah peguam. Jadi atas dasar ini ia adalah satu undang-undang yang zalim,” katanya.

Syed Ibrahim berkata GMI yang ditubuhkan dengan asas untuk menegakkan prinsip keadilan mahu tahanan dibebaskan tanpa syarat atau dibicarakan.

Beliau berkata pada masa ini wujud tanggapan-tanggapan yang belum dipastikan kebenarannya sehingga ia dijadikan alasan untuk penahanan ketiga-tiga orang itu baru-baru ini.

Dalam kes yang membabitkan Teresa misalnya, Syed Ibrahim berkata wujud tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa beliau membuat sokongan petisyen untuk mengurangkan laungan azan.

“Hakikatnya, adakah perkara ini benar-benar berlaku,” soalnya.

Beliau berkata penggunaan ISA hanya mengekang kebebasan berfikir dan keberanian dalam menyampaikan kebenaran dan keadilan.

“Kalau kita hendak lebih maju perlu buang undang-undang seperti ini,” katanya.

Syed Ibrahim juga melihat kes penahanan ketiga-tiga orang itu ada kena mengena dengan agenda politik.

“Mungkin mereka kata Raja Petra cuba meningkatkan kemarahan rakyat terutama orang Islam sebab beliau dikatakan mengeluarkan kenyataan menghina Islam dan Rasulullah s.a.w.. Tetapi hakikatnya ialah banyak undang-undang yang kita boleh gunakan untuk bicarakan beliau.

“Kalau betul beliau didapati bersalah, dakwalah dengan gunakan undang-undang yang lain, tetapi bukan dengan menggunakan ISA,” katanya.

Beliau berkata GMI berpendirian yang semua tahanan ISA termasuk Teresa dan Raja Petra dibebaskan.

Katanya, GMI juga telah membuat pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(Suhakam) dan menyerahkan memorandum agar suruhanjaya itu dapat mengadakan lawatan dengan tahanan.

“Suhakam memang ada hak untuk berjumpa. Ini penting bagi memastikan kesihatan dan keselamatan tahanan,” jelas beliau.

Beliau berkata GMI turut meminta akses rawatan perubatan, peguam dan keluarga diberikan kepada tahanan ISA.

“Kita juga meminta Suhakam membuat temujanji dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan kadar segera dalam memastikan supaya semua tahanan yang lain turut dibebaskan,” katanya.

Syed Ibrahim menambah GMI juga berharap tidak akan ada lagi mana-mana individu yang akan ditahan di bawah ISA seperti yang digembar-gembur.

Beliau berkata selain pemakaian lencana khas sebagai membantah penggunaan ISA, satu lagi cara digunakan ialah dengan menggalakkan orang ramai memakai pakaian berwarna merah hitam setiap Ahad.

Katanya warna merah menandakan keberanian sementara hitam pula melambangkan kemurungan mengenai masa depan negara sekiranya undang-undang seperti ini masih wujud.

Sementara itu, Syed Ibrahim turut melahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri Selangor yang prihatin menghulurkan bantuan kepada keluarga tahanan ISA.

Menurut beliau, dianggarkan terdapat seramai 17 individu dari Selangor yang ditahan di bawah akta itu, jumlah kedua tertinggi selepas Sabah.

Katanya, selain bantuan pengangkutan untuk keluarga ke kem tahanan, kerajaan negeri juga akan menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan kebajikan keluarga.

Beliau berharap kerajaan Malaysia akan membebaskan semua tahanan ISA atau membicarakan mereka mengikut proses undang-undang yang adil.

Harapan beliau juga, Pakatan Rakyat benar-benar dapat melaksanakan manifesto janji mereka untuk memansuhkan ISA sekiranya dapat mengambilalih kerajaan.

“Selagi mereka pegang prinsip ini, saya akan sokong sepenuhnya,” katanya.

Shaari Kongsi Pengalaman Ditahan ISA

Pengalaman pahit sewaktu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak melunturkan semangat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Shaari Sungib untuk terus menegakkan keadilan.

Pendiriannya berhubung penggunaan ISA yang menahan tanpa bicara tetap serupa iaitu ISA tetap satu undang-undang yang zalim dan kejam.

“Jika alasan untuk keselamatan negara, perlu digubal satu undang-undang yang adil. Undang-undang yang membolehkan rakyat ditangkap tanpa bicara, disoal siasat sehingga 60 hari adalah tidak munasabah dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia,” katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

ybshaari

Shaari berkata penahanan tiga individu pada 12 September lalu berkait dengan motif politik untuk menganggu rancangan 16 September Pakatan Rakyat.

“Ia juga dilihat untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap masalah politik dalam Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

Shaari yang pernah ditahan dua kali di bawah ISA pada 1998 dan 2001 berkata walaupun menghadapi trauma dan kejutan semasa ditahan, beliau mengambil sikap tidak panik.

“Saya juga berjaya menghasilkan lapan buah buku semasa ditahan dua tahun bermula 2001,” katanya.

Shaari berkata penahanan beliau buat kali kedua menjadikan isteri dan anak-anak lebih kuat dalam menghadapi cabaran besar itu.

“Semasa saya ditahan pada 2001, isteri dan anak-anak saya sudah terlibat dalam proses menentang ketidakadilan ini,” katanya.

Beliau berkata mereka yang ditahan dibawah ISA tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Tidak ada pembelaan kerana ia seolah-olah pihak kerajaan yang betul,” katanya.

Katanya, tindakan itu hanya mencabul hak asasi kerana menahan tanpa bicara hanyalah satu bentuk penganiayaan kepada mereka. – NOOR ALLIA KASSIM/ Foto AHMAD FADHLI YAHYA