Sistem Pendidikan Negara Perlu Diperbaiki – Khoo Kay Kim
Monday, 29 December 2008 | Ruangan: RencanaPendapat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pembukaan 10 peratus kuota kemasukan pelajar bukan bumiputera dan asing ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengundang pelbagai reaksi.
Kenyataan Menteri Besar ketika ditanya media pendapatnya berhubung usul itu berkata UiTM perlu bersikap global dalam usahanya untuk menentukan siswazah UiTM lebih mesra dengan masyarakat yang berbilang kaum serta membantu dalam kerjaya mereka.
Menurut Abdul Khalid penglibatan pelajar bukan bumiputera dan asing di UiTM perlulah tidak lebih daripada 10 peratus.
Bagaimanapun, ulasan Abdul Khalid berhubung perkara itu dilaporkan di luar konteks asal dan lebih menjurus kepada isu perkauman.
Menurutnya, kenyataan itu dibuat bagi menjawab soalan pihak media tentang kemasukan pelajar bukan bumiputera dan pelajar asing ke UiTM.
“Ulasan tersebut telah dibuat dari konteks mempertingkatkan mutu serta kualiti pendidikan tinggi di dalam era globalisasi sekaligus membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada pelajar Melayu dan bumiputera,” katanya ketika menjelaskan dalam satu sidang media baru-baru ini.
Walaupun ulasan beliau mengundang rasa tidak puas hati khususnya di kalangan penuntut dan kepimpinan tertinggi UiTM, Abdul Khalid tetap mengulangi pendiriannya yang beliau tidak pernah bermaksud mempertikaikan hak-hak keistimewaan pelajar Melayu dan bumiputera.
Beliau yang menyifatkan isu itu dipolitikkan pihak-pihak tertentu berkata kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat akan terus menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan termasuk Artikel 153 mengenai hak-hak istimewa orang Melayu.
Ahli Akademik terkemuka, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata masalah ini timbul apabila isu ini dipolitikkan pihak-pihak tertentu.
Dr Khoo berkata apa yang perlu menjadi keutamaan pada masa ini ialah memperbaiki sistem pendidikan negara sekaligus merapatkan perpaduan antara kaum.
“Akhir-akhir ini kita dapati ahli politik menggunakan berbagai isu untuk agenda diri sendiri dan tindakan mereka itu memecah-belahkan rakyat,” katanya ketika ditemui.
Menurut beliau, UiTM boleh menimbang cadangan yang dibuat itu atau sekiranya tidak dipersetujui, pihak pemerintah boleh mewujudkan sebuah lagi institusi yang berstatus sama yang dibuka untuk semua kaum.
“Dengan itu bilangan penuntut Melayu pun akan bertambah,” katanya.
Beliau berkata situasi yang berlaku pada masa ini tidak baik kepada pembangunan negara khususnya dalam aspek perpaduan.
Jelas beliau, ahli politik sewajarnya memainkan peranan menyatupadukan rakyat.
Dr Khoo berkata UiTM ditubuhkan dengan tujuan yang baik untuk membantu pelajar Melayu dan bumiputera. Bagaimanapun katanya, secara progresifnya mereka sepatutnya digalakkan untuk bersaing secara terbuka.
“Pada zaman sekarang ini seluruh dunia sudah begitu rapat. Jadi memang tidak realistik kalau mereka hanya nak hidup di dalam negara sendiri saja.
“Mereka perlu bersaing juga di luar negara, di peringkat global,” katanya.
Beliau menambah, pelajar Melayu dan bumiputera seharusnya tidak terlalu mengharapkan perlindungan agar mereka dapat turut sama bersaing.
Katanya, pembukaan sesebuah institusi pengajian tinggi untuk satu-satu kaum sahaja tidak akan membantu usaha menyatu-padukan rakyat.
Selain tidak menjadikannya sebagai alat politik, institusi pengajian tinggi wajar dijadikan tempat untuk mengasuh golongan muda yang bertaraf dunia dalam banyak bidang.
“Kita mahu mereka sampai ke peringkat yang tertinggi di dunia dalam semua bidang dan oleh itu kita perlu sentiasa cari jalan untuk merapatkan rakyat,” katanya.
Ketika ditanya anggapan ramai orang yang mengatakan institusi itu adalah benteng terakhir bagi orang Melayu dan bumiputera, beliau berkata UiTM boleh dikekalkan untuk golongan itu bagaimanapun, satu lagi institusi berstatus sama boleh dibuka untuk semua kaum.
“Kalau ada masalah, lebih baik jangan diteruskan.
“Jadi apa salahnya kalau pihak pemerintah Selangor menubuhkan sebuah institusi yang boleh menolong semua penuntut tidak kira kaum. Kita mesti selalu mengelakkan masalah,” katanya.
Justeru kata Dr Khoo, perkara ini tidak wajar dijadikan isu kerana ia hanya dibincangkan di kalangan ahli politik, tidak di peringkat akar umbi.
Dr Khoo berkata pengajian di institusi pengajian tinggi pada masa ini perlu melahirkan lebih ramai golongan pemikir yang dapat bekerja secara kreatif dan mencipta pelbagai idea.
Katanya, walaupun ada yang berpendapat golongan itu tidak berguna, namun jarang berlaku masalah pengangguran di kalangan mereka.
Menurut beliau senario yang berlaku pada masa ini, lebih ramai yang gemar bekerja makan gaji apabila keluar universiti berbanding menjadi bos.
“Itu menunjukkan yang sistem pendidikan kita gagal. Kita tidak mendidik penuntut untuk berdikari. Jadi apa yang ada dalam kepala mereka, masuk universiti ambil peperiksaan dan kemudian keluar dengan kelulusan untuk cari kerja,” katanya.
Dr Khoo berkata sistem pendidikan yang baik juga menjadi alat dalam penyatuan antara kaum. Untuk merapatkan hubungan antara kaum itu katanya, golongan pemimpin perlu bersungguh-sungguh mencari jalan terbaik dan tidak memilih jalan politik untuk agenda sendiri.
“Saya dapati ada ahli politik sangat nakal, sesuatu masalah itu boleh diselesaikan (tetapi) mereka sengaja tak mahu selesaikan dengan cara rasional dan bekerjasama. Mereka suka menghasut,” katanya.
Beliau mengambil contoh saranan sesetengah pihak yang minta ditubuhkan sebuah negara yang bersifat sekular.
“Itu mustahil, kerana dalam agama Islam tidak ada dua cabang, satu sekular dan satu agama, tidak ada.
“Kita tidak boleh minta orang Islam menerima sekularisme. Jadi orang yang minta ditubuhkan negara sekular itu sama ada tidak faham atau sengaja tidak mahu faham,” katanya.
Bagaimanapun katanya, orang Islam juga mesti memberi penjelasan mengenai agama itu kepada mereka yang bukan Islam.
Katanya, ada perkara-perkara asas yang masih belum difahami misalnya pakaian orang Melayu dan orang Islam.
“Pakaian orang Melayu tak semestinya Islam. Ada yang salah faham mengatakan pakai songkok itu Islam, itu bukan Islam tetapi itu (budaya) Melayu,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, perkara asas seperti ini perlu difahami semua kaum agar tidak wujud masalah dan prasangka antara kaum.
Beliau berkata proses memulakan pengasuhan mengenai perpaduan perlu dibuat sejak di peringkat awal iaitu di sekolah rendah lagi.
Katanya, menjelang penubuhan negara bangsa pada tahun 1956, sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dato’ Abdul Razak Dato’ Hussein Alhaj (kemudian Tun) untuk mengkaji dasar pendidikan kebangsaan telah dibentuk.
“Penyata Razak menyatakan objektif utama dasar pelajaran negara ialah perpaduan kaum,” katanya.
Bagaimanapun katanya selepas tempoh itu tidak kelihatan sekolah-sekolah yang memberi tumpuan kepada perpaduan kaum sebaliknya memfokuskan sasaran mendapat gred A dalam peperiksaan.
Dr Khoo berkata masih belum terlambat untuk semua kaum bersatu padu.
“Jangan biarkan prasangka ada di dalam fikiran generasi muda.
“Kanak-kanak biasanya sangat jujur dan hanya apabila mereka semakin besar mereka belajar (prasangka) dari orang dewasa,” katanya. – NOOR ALLIA KASSIM/ Foto AR ROHIM AHMAD

