Pembangunan Sosial Tidak Dipinggirkan
Thursday, 19 June 2008 | Ruangan: RencanaWALAUPUN berstatus negeri maju sejak tiga tahun lalu, Selangor tidak pernah meminggirkan aspek pembangunan sosial.
Dan menyedari pembangunan sosial perlu selari dengan kemajuan yang sedia ada, Selangor telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan program yang boleh meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.
Langkah kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan Belia (JKB) amat bertepatan sekali dengan matlamat Selangor yang ingin melahirkan generasi pemimpin yang berwibawa dalam mentadbir negeri ini pada masa depan.
Apa yang pasti, penubuhan JKB di 457 buah kampung dan 214 kawasan taman perumahan di seluruh Selangor dapat memberi peluang kepada belia untuk menyuarakan pendapat selain menggilap bakat kepimpinan mereka dalam membangunkan negeri dan juga negara.
Bagi memastikan persatuan belia ini terus bergerak aktif, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk meneruskan program sedia ada seperti Anugerah Belia Peringkat Negeri.
Ganjaran berbentuk geran pembangunan serta lawatan sambil belajar ke luar negara antara kemudahan yang diitawarkan oleh kerajaan negeri bagi menarik minat golongan ini.
Manakala agensi dan badan kerajaan pula diberi tangungjawab masing-masing dalam memacu pembangunan negeri. Peranan ini juga turut digalas oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dimana mereka turut serta dalam menyumbang kemajuan negeri.
Program sedia ada seperti kursus, seminar,program perjumpaan dan bengkel yang melibatkan pihak kerajaan dan bukan kerajaan dilihat dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor.
Menyedari pembangunan negeri dicapai dengan adanya penyatuan kaum, kerajaan negeri dibantu oleh Jabatan Perpaduan Negeri Selangor menjalankan pelbagai program untuk memantapkan dan mempertingkatkan semangat cintakan negara secara berterusan di kalangan rakyat Selangor.
Perlaksanaan program perpaduan meliputi program sosial yang melibatkan penyertaan masyarakat secara menyeluruh turut diadakan. Sambutan seperti Bulan Perpaduan mengingatkan masyarakat betapa pentingnya perpaduan kaum dan integrasi nasional di kalangan masyarakat.
Selaras dengan itu juga, Jawatankuasa Induk Pelan Tindakan Program Menangani Gejala Sosial turut diwujudkan bagi mengenalpasti program yang boleh menjamin kesejahteraan dan kehormanian rakyat.
Program seperti Menangani Jenayah di Sekolah, Kem Pemantapan Sahsiah Diri Pelajar Berisiko, Program Bina Insan, Program Ujian Air Kencing di Sekolah Menengah dan Program Intervensi Pelajar antara program yang diperkenalkan bagi mengesan, mengawal dan membanteras gejala yang tidak sihat di kalangan pelajar sekolah.
Sementara itu, kecemerlangan di dalam bidang sukan juga diteruskan melalui perancangan, persediaan latihan dan program yang telah disusun oleh Jawatankuasa Tetap Sukan. Pelbagai kejohanan diadakan seperti Sukan Integrasi Selangor, pertandingan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Liga Sukan Komuniti di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Program ini dilihat berkesan kerana ia mencungkil bakat-bakat baru selain mengalakkan masyarakat untuk bersukan.
Sesuai dengan status negeri maju, peranan kaum wanita juga tidak pernah diketepikan. Ibarat duduk sama tinggi, berdiri sama rata peranan kaum wanita di negeri ini juga sama penting dengan kaum lelaki.
Pelbagai program telah dirancang dan disusun oleh kerajaan negeri antaranya mewujudkan Ekspo Usahawan Wanita bagi membantu dan memberi peluang kepada golongan ini untuk berniaga.
Sebagai galakan dan insentif, kerajaan negeri telah mewujudkan Anugerah Tokoh Wanita Selangor bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan mereka kepada pembangunan negeri dan masyarakat.
Bagi menjaga kebajikan dan menghargai sumbangan warga emas dan OKU pula, kerajaan negeri telah mewujudkan Skim Khairat Kematian atau lebih dikenali sebagai ‘Tabung Jasamu’ untuk semua kaum di negeri ini pada awal Januari lalu.
Skim yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia ini dilihat dapat memberi manfaat kepada semua kaum di Selangor di mana ia dapat mengurangkan beban waris dalam menguruskan hal-hal pengkebumian.
Melalui skim ini waris si mati akan menerima wang saguhati sebanyak RM2,000 dari kerajaan negeri tanpa mengambil kira sebab-sebab kematian.
Mereka yang layak menerima adalah waris warga emas Selangor yang berumur 60 tahun ke atas, OKU atau mereka yang telah bermastautin sekurang-kurangnya 15 tahun di Selangor.
Sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi menjayakan skim berkenaan.- MURIZA ABDUL HAMID

