Taman Sains Selangor 2 Tarik Pelabur

Sunday, 01 June 2008 | Ruangan: Rencana

TAMAN Sains Selangor 2 (SSP2) yang dibangunkan di Kawasan Perindustrian Bukit Baja, Sepang menjadi satu lagi tarikan untuk para pelabur ke Selangor selepas kejayaan memajukan Taman Sains Selangor 1.

Taman yang terletak di kawasan perindustrian Bukit Baja, Sepang dan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Cyberjaya dan Putrajaya bakal melonjakkan nama Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik di negara ini.

Terletak di lokasi yang sangat strategik, SSP2 dilengkapi dengan prasarana moden di mana terdapatnya jaringan lebuh raya, lapangan terbang bertaraf antarabangsa serta pelabuhan bertaraf dunia.

Dengan kawasan seluas 519.6 hektar, SSP2 tertumpu kepada industri berteknologi tinggi yang menggabungkan perindustrian dan pelaburan yang eksklusif.

Pembinaan SSP2 juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang menetapkan pembangunan Wilayah Lembah Klang 2  merangkumi dua komponen utama iaitu kawasan perindustrian dan perumahan.

Kewujudannya dapat melonjakkan pelaburan di Selangor selain menambah lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Ia dilengkapi dengan kawasan industri, kawasan pembangunan komersial, kediaman, rekreasi, pusat hiburan, pusat perubatan dan kemudahan awam, bagi mewujudkan komuniti dan kawasan perbandaran baru yang melengkapi Cyberjaya.

Ia bersesuaian dengan objektif utama pembukaan SSP2 untuk membangunkan dan melengkapkan kemudahan dalam industri berasaskan sains dan teknologi.

SSP2 yang merangkumi tiga fasa di mana fasa pertamanya lebih tertumpu kepada pembangunan industri manakala selebihnya kawasan perumahan dan komersial.

Setakat ini SSP2 menerima jumlah pelaburan sebanyak RM1 bilion.

Projek ini dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri Selangor iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang sebelum ini turut memajukan Taman Sains Selangor 1 di Kota Damansara.- MURIZA ABDUL HAMID