Sepang Gold Coast Produk Pelancongan Baru di Selangor
Friday, 30 May 2008 | Ruangan: RencanaSEPANG Gold Coast kini mula disebut-sebut sebagai lokasi paling ideal untuk dikunjungi seisi keluarga apabila siap kelak.
Destinasi percutian baru yang lebih dikenali sebagai ‘Syurga Pesisir Pantai Terpanjang di Asia’, pastinya menjanjikan suasana percutian menarik dan berbeza bagi pengunjung yang mencari penginapan, hiburan dan membeli-belah.
Tanpa perlu menghabiskan ribuan ringgit untuk ke luar negara, Sepang Gold Coast bakal menyediakan percutian mewah setanding percutian ala Gold Coast di Australia.
Projek mega yang sedang giat dibangunkan di kawasan sepanjang 22 kilometer bermula dari muara Sungai Sepang Kecil dan Sungai Sepang Besar serta pantai Bagan Lalang hingga ke Tanjung Rhu dibangunkan oleh Sepang Gold Coast Sdn Bhd dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), anak syarikat kerajaan Selangor dan juga Sepang Bay Sdn Bhd.

Komponen utama cadangan pembinaan Sepang Gold Coast, antaranya
melambangkan pokok palma.
Projek di atas tanah seluas 3,686 ekar ini bakal menjadi mercu tanda baru dalam industri pelancongan di Selangor yang terletak hanya 45 minit perjalanan dari Putrajaya dan 75 minit perjalanan dari Kuala Lumpur.
Sepang Gold Coast yang dibina berkonsepkan eko-pelancongan membabitkan pelaburan bernilai RM3 bilion, di mana komponen cadangan utama pembangunannya ialah Golden Palm Tree Water Villa dengan konsep reka bentuknya melambangkan pokok palma.
Lengkap dengan pelbagai kemudahan, Sepang Gold Coast mengandungi 366 unit villa air mewah, taman tema restoran, dewan persidangan, medan selera, pusat membelah belah dan pelbagai kemudahan pelancongan lain setanding dengan negara lain.
Apabila siap sepenuhnya, Sepang Gold Coast akan menggabungkan beberapa elemen dan komponen percutian yang berbeza di mana pembangunan kediaman percutian yang menekankan konsep seni bina, budaya dan persekitran tersendiri, aktiviti rekreasi pantai dan pembangunan sokongan.
Kesemua ini digabungkan dalam suasana persekitaran alam semulajadi yang mempunyai ciri pembangunan hutan paya bakau yang tidak mengganggu ekologi semulajadi hutan.
Walaupun belum siap sepenuhnya, Sepang Gold Coast kini sudah mula menerima kedatangan pelancong sama ada dari dalam dan luar negara yang ingin melihat keindahan pemandangan pesisir pantai terutamanya ketika matahari terbenam di samping menikmati makanan laut serta ikan bakar yang terletak di tepian pantai.
Pengunjung juga boleh menikmati aktiviti sampingan lain antaranya berkhemah, bermain layang-layang dan menaiki bot bagi menambahkan keceriaan untuk bersantai di situ. – MURIZA ABDUL HAMID



