Raftah Aktif Menyanyi Keroncong
Thursday, 01 May 2008 | Ruangan: RencanaAGU keroncong sudah sebati dengan dirinya. Apa tidaknya seawal usia 11 tahun lagi beliau sudah didedahkan dengan irama ini. Jadi tidak hairanlah dalam usia 58 tahun beliau masih lagi aktif menyanyi dan menerima undangan persembahan.
Raftah Bachik atau nama sebenarnya Sity Ramlah Md Sotan, penyanyi veteran yang sinonim dengan lagu-lagu asli dan keroncong sekitar tahun 1960-an sehinggalah sekarang.
Walaupun telah melalui perjalanan yang panjang dalam bidang seni, rasa cintanya terhadap irama itu tidak pernah pudar. Semangatnya kuat untuk mempopularkan keroncong dan asli walaupun ia kurang mendapat tempat di hati masyarakat kini.
Tanpa publisiti meluas beliau tetap aktif menyanyi malah kerap menerima undangan persembahan untuk majlis-majlis rasmi anjuran kerajaan, pusat pengajian tinggi, jabatan kebudayaan dan lain-lain.
Tidak hairanlah tahun lalu beliau menerima pencalonan untuk Anugerah Tokoh Wanita Selangor 2006 yang bertemakan seni dan budayanita. Raftah berjaya meraih tempat ketiga.
Mengimbau kembali detik-detik awal pembabitan beliau dalam bidang seni Raftah berkata dirinya amat bertuah kerana bapa dan bapa saudaranya berdarah seni.
“Saya mula menyanyi seawal usia 11 tahun lagi. Bapa saya adalah pelakon bangsawan manakala bapa saudara Bachik Abdul Hamid, adalah pemimpin Orkes Rangkaian Seni Pelabuhan Klang.
“Waktu itu bapa saudara sering membuat latihan di rumahnya dan saya pula selalu datang tengok. Dari situlah minat saya timbul dan bapa saudara saya juga memahami minat saya,” katanya yang mengakui dua orang anak lelakinya turut meminati bidang seni.
Tambahnya, bapa saudaranya yang bertanggungjawab menggilap bakat seni beliau sehinggakan nama Raftah itupun diberi olehnya.
Dengan bimbingan bapa saudaranya, Raftah bersama Orkes Rangkaian Seni Pelabuhan Klang selalu mengadakan persembahan dengan menyanyikan lagu Gadis Remaja, Oh Bulan dan sebagainya selain lagu asli dan keroncong.
Menurutnya, tahun 1966 mencatatkan kenangan paling indah buatnya apabila menjuarai Bintang Radio seluruh Malaysia. Waktu itu beliau membawa lagu Bacang Manis.
“Alhamdulillah sejak menjadi juara rezeki semakin murah dan saya sering menerima jemputan. Undangan menyanyi semakin meluas seperti di hotel- hotel, di Istana Selangor,Perak, Negeri Sembilan dan Istana Negara,” katanya yang mula menjejak kaki ke Radio Malaya pada usia 15 tahun.
Menurutnya sepanjang membuat persembahan beliau akan diiringi Badan Budaya Seri Kayangan (BBSK) Klang atau Kombo Keretapi Tanah Melayu (KTM) di bawah pimpinan suaminya, Bakri Darus.
Beliau juga pernah menyertai Kumpulan The Wanderes awal tahun 1963 di bawah Ramlee Hashim dan hanya menjadi anggota kumpulan itu pada lewat tahun 60-an.
Manakala dengan J Sham yang turut menjadi penyanyi utama The Wanderes, kumpulan itu sempat menghasilkan tiga EP (piring hitam) dari tahun 1968 hingga 1970.
Mengimbas kembali perjalanan seninya, Raftah berkata banyak pengalaman manis yang sukar dilupakan oleh beliau sehingga kini.
“Paling manis apabila saya diberi peluang menyanyi di depan Almarhum Sultan Selangor. Saya bukan setakat menyanyi malah bersyair tentang riwayat keluarganya.
Pernah juga satu ketika saya mengadakan persembahan di Kedah, seorang peminat menangis-nangis bila saya mula menyanyi. Saya sendiri hairan kenapa dia boleh menangis dan saya rasakan mungkin lagu itu ada kena mengena dengan dirinya,” katanya.
Menurut Raftah, penyanyi generasi sekarang lebih beruntung berbanding zamannya dulu yang terpaksa belajar sendiri jika ingin berjaya sebagai penyanyi.
“Zaman saya dulu semuanya kena lakukan sendiri sebab tidak ada televisyen. Nak belajar sesuatu kena banyak dengar radio dan siaran ulangan,” katanya yang menyifatkan penyanyi sekarang ini bertuah kerana semua kemudahan lengkap.
Tambah beliau antara sebab beliau masih bertahan sehingga kini adalah berkat sokongan suami dan anak-anak.
“Walau sesibuk mana pun menerima undangan menyanyi, sebagai isteri dan ibu, keluarga tetap menjadi keutamaan saya,” katanya.
Apakah beliau masih menyanyi di masa depan?
“Selagi saya diterima dan masih sihat saya akan terus menyanyi,” katanya yang pernah merakamkan enam album dalam bentuk kaset dalam tahun 80-an secara solo, berduet dan kompilasi lagu.
Beliau akan terus memperjuangkan dan memperkembangkan muzik keroncong selaras dengan hasrat Selangor menjadikan keroncong sebagai muzik identiti Selangor atau irama Selangor. – MURIZA ABDUL HAMID

