Tenunan Songket Subur di Selangor
Friday, 15 February 2008 | Ruangan: RencanaSEBUT sahaja songket, fikiran kita akan tertumpu ke negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang kerana industri itu memang sinonim dengan pantai timur.
Justeru, apabila perusahaan songket wujud di Selangor, lebih-lebih lagi di tengah-tengah bandaraya Shah Alam, ia tentunya menimbulkan banyak tanda tanya.
Tetapi itulah hakikatnya. Sejak empat tahun lalu, perusahaan tenunan songket yang diusahakan sebuah syarikat bumiputera wujud di Selangor.
Lebih menarik perusahaan secara komersial ini adalah yang unggul dalam pembuatan songket tenunan mesin di Malaysia.
Pengurusnya, Leena Hassan, berkata syarikat ini membekalkan bahan mentah batik dan pelbagai jenis benang seperti kapas, polister, pilamen, sutera campuran dan sutera asli yang diimport dari China untuk pengusaha songket, bukan sahaja di Malaysia, malah Brunei.
Sebagai satu-satunya pembekal utama, syarikat ini turut membuka cawangannya di Terengganu untuk penjualan bahan mentah batik dan songket.
Sejak tahun 2002 ia menjadi pembekal kepada kain sampan untuk anggota pasukan keselamatan, seperti polis dan tentera dan bomba. Bahkan ia membekal sampin tenunan mesin untuk sekolah-sekolah.
Menurut Leena, songket tenunan tangan memakan masa kira-kira sebulan untuk disiapkan, berbanding dengan tenunan menggunakan mesin yang siap dalam masa 30 minit sahaja atau 30 helai sehari.
Kerja tenunan itu dilakukan dengan tenaga kerja mahir lulusan Institut Kraf Negara (IKN).
“Apa pun, kami tidak mengenepikan ciri-ciri tradisional tenunan songket yang menjadi kebanggaan warisan negara,” kata Leena.
Ciri-ciri itu dikekalkan kerana ia memberikan alternative kepada pembeli. Tambahan pula hasil tenunan tangan dapat menggabungkan pelbagai warna benang, berbeza dengan tenunan menggunakan mesin yang hanya boleh menggabungkan empat warna benang.
Dengan menggunakan teknologi mesin tenunan songket dari Pakistan, syarikat itu, setakat ini, memiliki empat buah mesin tenunan, berharga RM100,000 setiap satu.
Kapasiti keluaran sebuah mesin ialah 200 helai kain songket dalam tempoh sebulan.
Menurut Leena, sehelai kain songket yang ditenun menggunakan mesin dijual dari serendah RM30 bergantung kepada saiz.
Songket tenunan tangan pula dijual dengan harga RM200 ke atas, bergantung kepada saiz dan corak bunga dan warnanya.
Walaupun telah terkenal dan berjaya, Leena berkata mereka masih tidak berpuas hati dan sedang berusaha untuk meningkatkan perusahaan itu.
“Yang penting, kami berazam dapat terus menyumbang kepada Selangor di samping mempertahankan warisan negara,” katanya.




saya rasa teruja kerana ada juga anak melayu yang mampu menghasilkan tenunan menggunakan tangan. bolehkah saudara menghantar video bagaimana menghasilkan songket menggunakan tenunan tangan ke emel saya