Kelip-kelip Menerangi Masa Depan Penduduk
Thursday, 31 January 2008 | Ruangan: RencanaKECIL dan terpingit, Kampung Kuantan, desa yang tersorok kira-kira 10 kilometer dari Kuala Selangor, hampir tidak dapat dikesan di atas peta.
Namun, nama kampung yang hanya dihiasi rumah-rumah usang dan sederhana itu menjadi sebutan manusia seluruh dunia dengan daya tarikannya tersendiri.
Apa yang membezakan nasibnya dengan nasib banyak kampung lain ialah kelip-kelip, serangga keramat yang sejak bertahun-tahun lalu berjaya menggamit ratusan ribu pelawat dari merata pelusuk di muka bumi ini.
Kini seluruh dunia mengetahui Kampung Kuantan mempunyai koloni kelip-kelip yang terbesar di muka bumi.
Tidaklah hairan mengapa kawasan itu dibanjiri pelawat dari dalam dan luar negara, termasuk Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
“Tidak kurang daripada 4,500 pelawat mengunjungi kawasan kelip-kelip ini setiap bulan,” kata Pegawai Perhubungan Awam Majlis Daerah Kuala Selangor, Mohd Saad Mahsah.
Kawasan kelip-kelip itu terletak di tebing Sungai Selangor, dikelilingi ladang buah-buahan, kelapa sawit dan alam semulajadi dan kehijauan yang menenangkan mata. Ia diusahakan sekumpulan penduduk Kampung Kuantan.
Kewujudan khazanah alam yang unik itu disedari penduduk tempatan pada awal tahun 1970- an Berikutan itu Kerajaan Negeri Selangor mengambil insiatif mempromosikan secara meluas untuk memikat pelawat dari dalam dan luar negara.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang, YB Dato’ Abdul Aziz Mohd Noh, spesies serangga dari kumpulan kumbang jenis Pteroptyx Tener ini hanya terdapat di Kampung Kuantan.
“Ia tidak terdapat di mana-mana lagi di dunia ini,” katanya.
Spesies ini yang hidup di kawasan pokok berembang – sumber makanannya – yang banyak terdapat di kawasam itu telah membina koloni sejak berpuluh-puluh tahun.
Apa yang unik pada spesis ini adalah kerlipan cahaya yang dikeluarkan dari ekornya.
Menurut kajian, kerlipan cahaya yang dikeluarkan oleh serangga ini adalah serentak pada setiap masa iaitu pada kadar 3 kerlipan sesaat.
Kerajaan negeri akan menyerahkan kawasan perlindungan kelip-kelip di Kampung Kuantan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk dijadikan anak angkat.
Kini pihak TNB terus memelihara pokok berembang yang begitu banyak tumbuh liar di tebing Sungai Selangor untuk mengekalkan kewujudan kelip-kelip. Sebagai salah satu usaha penjagaannya itu ialah menentukan kerja-kerja penebangan hutan dan bercucuk tanam tidak dijalankan sama sekali di sekitar kawasan perlindungan seluas 5km.
Bot-bot berenjin juga dilarang memasuki kawasan berkenaan kerana dikhuatiri mengancam kehidupan kelip-kelip. Setiap ekor kelip-kelip mempunyai jangka hayat antara enam dan tujuh bulan sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor Dato’ Dr Lim Thuang Seng berkata,walaupun terdapat berbagai persedian dan kemudahan kepada para pelancong di kawasan itu, pihaknya sedang berkerjasama dengan TNB untuk menambah lagi kemudahan.
“Kita bercadang membuka kedai cenderahati, teater pandang dengar yang memaparkan kitaran hidup kelip-kelip, gerai makan dan kraftangan untuk memberi pendapatan kepada penduduk tempatan.”
TNB dijangka membiayai pembinaan teater pandang dengar yang dapat menampung seramai 100 orang itu dengan kos RM300,000.
Rombongan pelancong akan berpeluang menontonnya sebelum menaiki sampan untuk melihat kelip-kelip.
TNB bukan sahaja berusaha menjadikan kawasan itu tempat rekreasi yang popular pada waktu malam, bahkan di waktu siang, walaupun kelip-kelip itu tidak mengeluarkan kerlipan cahaya.
Dato’ Dr Lim menghargai sumbangan TNB yang telah banyak memberi sokongan sejak beberapa tahun lalu dalam usaha memulihara kawasan perlindungan kelip-kelip, termasukmembina kemudahan untuk keperluan pelancong tempatan dan asing.
“TNB telah memperbanyakkan papan tanda tunjuk jalan menuju ke sana dan membaiki jalan-jalan yang rosak sejauh 7 km antara Bukit Rotan dan Kampung Kuantan, serta memasang lampu-lampu jalan,” katanya.
Untuk memberi pendapatan lebih kepada penduduk tempatan, kerajaan negeri juga sedang berusaha menggalakkan pelancong menginap di beberapa hotel bajet di Kuala Selangor dan sekitar kawasan itu dan menikmati makanan laut di Pasir Penambang yang berhampiran.

