Zurinah Abadikan Diri Dalam Penulisan

Friday, 18 January 2008 | Ruangan: Rencana

PEMIKIRAN dan proses kreatif seseorang penulis dibentuk oleh pengalaman hidup, pergaulan, alam sekeliling dan pembacaannya.

Demikian kata penulis terkenal, Zurinah Hassan yang sudah mengabdikan diri dalam bidang penulisan hampir lima dekad lamanya.

Beliau yang pernah memenangi tempat kedua Anugerah Tokoh Wanita Selangor 2006 menyifatkan usianya di dalam bidang penulisan sudah terlalu lama namun beliau bersyukur dengan bakat yang dianugerahi oleh-Nya.

“Sesungguhnya setiap pemikiran  yang tertangkap di benak ini dan setiap patah perkataan yang tertulis di kertas adalah kurniaan daripada Illahi,” katanya.

Zurinah yang dilahirkan di Alor Setar pada 1949, sudah bermastautin di Selangor sejak tahun 1974. Beliau mula mencoret dan menggubah puisi-puisi kecil sejak berumur 12 tahun dan karyanya mula mendapat tempat di dalam akhbar Warta Negara dan Utusan Zaman pada tahun 1967.

Sebagai penulis wanita yang memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan pekerja, banyak kesukaran dan dugaan yang perlu beliau hadapi.

Beliau yang pada mulanya mengarang secara sambilan terpaksa mengambil keputusan untuk meletak jawatan bagi memenuhi keinginannya untuk berkarya sepenuh masa.

Beliau bersara daripada tugasnya sebagai Ketua Cawangan Pengurusan Maklumat di Jabatan Perkhidmatan Penerangan semata-mata untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang penulisan.

“Banyak cabaran dan dugaan yang saya hadapi. Saat paling sukar apabila hendak menghasilkan sesebuah karya dan menyesuaikannya dengan kehendak media yang pastinya kehendak dan kemahuan kami berlainanan.

“Ini tidak termasuk dengan masalah lain seperti karya yang saya hasilkan lambat diterbitkan dan sebagainya. Pernah juga terjadi puisi yang saya hasilkan disalah ertikan oleh sesetengah pihak.

Ada segelintir pihak menuduh karya yang saya tulis bertujuan untuk menyindir orang lain sedangkan saya tidak pernah bermaksud demikian,” katanya yang kesal bila orang menilai karyanya sebegitu.

Menurutnya lagi, satu ketika dulu beliau pernah menerima kecaman hebat sebaik saja memenangi Hadiah Sastera (1984) apabila karyanya dikatakan basi dan klise sehingga membawa kepada pembubaran panel hakim dan Hadiah Sastera diberhentikan selepas itu.

Walaupun pahit, beliau tetap meneruskan minatnya dan menjadikan ia semakin kuat untuk berkarya.

Antara sajak yang dihasilkan oleh beliau seperti Keputusan (Sajak), Sesekali Aku Menjauhkan Diri Dari Puisi, Tanjung Dawai, Sungai Tiang, Dari Gunung Jerai ke Pekan Rabu, Kuala Lumpur, Pantai Remis dan Bas Stand Kelang. Manakala buku yang dihasilkan oleh beliau seperti Pujangga Tidak Bernama dan Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi.

Selain menulis, Zurinah juga aktif membaca puisi tradisional, syair, gurindam dan nazam di majlis rasmi dan acara-acara sastera dan budaya. Beliau sering di undang menjadi hakim pertandingan membaca sajak khasnya anjuran sekolah-sekolah dan penulis di Selangor.

Beliau juga sering terlibat dalam memberi bimbingan untuk bengkel-bengkel menulis, membaca sajak dan bersyair.

Beliau pernah menulis biodata Tuanku Sultan dan menyelenggara penerbitan buku Menjunjung Duli sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke-70.

Beliau juga aktif dalam berpersatuan dan menjalankan kerja-kerja kebajikan. Pernah menjadi ahli jawatankuasa GAPENA 1986 hingga 1998 dan menjadi ahli Persatuan Penulis Selangor (PPS) sejak 2005.

Beliau juga sering mengambil bahagian di dalam acara-acara anjuran Persatuan-persatuan Wanita Selangor, Jabatan- jabatan Kerajaan Selangor khasnya membaca gurindam, nazam dan puisi moden.

Kini, walaupun sudah hampir 50 tahun beliau bergiat dalam bidang penulisan, beliau dengan rendah diri berpendapat sumbangannya dalam bidang sastera masih terlalu sedikit.

“Apabila menoleh ke belakang, terasa bahawa pencapaian diri tidaklah seberapa. Ia seharusnya lebih tinggi dari ini tetapi apakan daya ada banyak masa yang dibiarkan tidak terisi.Ada banyak perkara yang dikesali dan ada banyak kesilapan yang telah dilakukan,” katanya.

Nasihat beliau kepada generasi muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang penulisan agar tidak mensia-siakan bakat serta masa yang mereka ada untuk berkarya.

Menurut beliau mereka perlu memanfaatkan peluang dan masa sebaik-baiknya dan belajarlah daripada kehidupan orang lain.

“Kita harus tahu mengambil yang baik untuk dijadikan teladan. Yang lebih penting kita mesti mengenal yang buruk untuk dijadikan sempadan,” katanya.

Apakah beliau akan terus menulis di masa depan?

“Saya akan menulis selagi terdaya. Saya berharap dapat menghasilkan karya-karya yang lebih baik pada masa depan,” katanya.