SELANGOR CADANG TUBUH KAMPUS KEUSAHAWANAN DI SHAH ALAM
Wednesday, 20 January 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang menimbang dengan serius untuk menubuhkan kampus keusahawanan di Shah Alam sebagai usaha mentransformasi Selangor menjadi sebuah negeri yang berasaskan pengetahuan ekonomi.
Kampus itu nanti dijangka memberikan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan ketika ini termasuk panel penasihat dan bantuan pelaburan modal, mereka bentuk struktur organisasi, mengoperasi pemasaran dan menyediakan rangkaian pengurusan – yang semuanya memerlukan satu kumpulan usahawan yang kreatif terutama mereka yang pakar dalam industri teknologi.
Kerajaan Negeri sedia menyegerakan bantuan berbentuk rangkaian tekno-usahawan dengan dana pelaburan, termasuk melibatkan universiti-universiti sebagai sumber inovasi di samping menjalin hubungan dengan pusat-pusat tekno-usahawan yang tertumpu pada kepakaran masing-masing dalam industri yang lebih khusus.
Sebagai ibu negeri, Shah Alam sewajarnya menjadi pusat pembangunan usahawan dan kita sudah mengenal pasti i-City di Shah Alam sesuai dijadikan kampus kerana ia memenuhi beberapa syarat yang diperlukan. Di i-City bukan sahaja tersedia kemudahan dan prasarana yang canggih, bahkan i-City sudah mendapat taraf koridor raya multimedia (MSC) yang membolehkan syarikat-syarikat yang terdapat di situ menikmati pelbagai faedah yang dilindungi oleh MSC Bill of Guarantees.
Tambahan pula, i-City yang dimiliki dan dimajukan oleh i-Berhad, kini merupakan tapak usahawan yang kukuh dan dengan kedudukan yang baik, ia lebih memahami keperluan dan permasalahan yang bakal dihadapi oleh komuniti usahawan. Justeru itu, i-City sesuai menempatkan kampus keusahawanan Negeri Selangor yang kita ura-urakan sekarang.
Bagi memastikan usaha kita ini berjaya dilaksanakan, Kerajaan Negeri sedang berusaha membawa ke Shah Alam “Plug and Play” dan “Play Tech Centre” Lembah Silicon California, yang terkenal mempunyai rekod cemerlang dalam pembentukan komuniti keusahawanan. Oleh itu, ia boleh dijadikan contoh dan acuan semasa pembentukan kampus keusahawanan di Shah Alam kelak.
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR



