SELANGOR PERUNTUKAN 500 RIBU UNTUK MISI KEMANUSIAN DI PADANG
Thursday, 01 October 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini menyampaikan takziah dan simpati kepada keluarga yang terbabit dalam bencana gempa bumi di Padang, Sumatera Barat, Indonesia.
Kerajaan negeri amat terkejut dan terkilan dengan kematian dan kemusnahan yang disebabkan oleh gempa bumi itu. Bagaimanapun kerajaan negeri berasa lega bahawa tiada kematian atau kecederaan di kalangan warga Malaysia di Padang.
Hari ini kerajaan negeri menubuhkan satu misi kemanusiaan untuk memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia dan menyediakan bantuan kewangan sejumlah RM500,000.
Misi khas tersebut akan menghantar ubat-ubatan, makanan, khemah dan keperluan lain ke Padang dalam masa tersingkat.
“Kami berharap sumbangan yang serba sedikit itu dapat mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh jiran kita di Padang. Saya merakamkan sedalam-dalam takziah buat keluarga dan rakan-rakan kepada mangsa dalam bencana itu,” kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media.
Kumpulan kemanusiaan ini seperti Yayasan Amal dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan telah memaklumkan bahawa mereka akan membekalkan khemah dan kemudahan lain yang diperlukan oleh misitersebut.
Pertubuhan bukan kerajaan lain yang ingin menyertai misi kemanusiaan ke Padang bolehmenghubungi pejabat exco kerajaan negeri YB Rodziah Ismail pada talian +603-55447623.
SEKRETARIAT AKHBAR PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

