SELANGOR AKAN MENINGKATKAN PENTADBIRAN TANAH: MENTERI BESAR
Monday, 28 September 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
Pejabat Daerah Kuala Langat pada hari ini telah menganjurkan Seminar Pentadbiran Tanah Negeri Selangor 2009 yang bertujuan untuk mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri Selangor. Seminar yang dihadiri oleh lebih kurang 200 peserta yang terdiri daripada sektor kerajaan dan juga sektor swasta, kebanyakannya syarikat-syarikat pemaju perumahan itu telah dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada jam 10 pagi di Bangunan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam.
“Melalui seminar ini, para peserta boleh mengambil peluang untuk menimba sebanyak ilmu yang mungkin serta lebih mengenali antara satu sama lain dalam memudahkan perlaksanaan kerja kelak,” kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Di dalam ucapan pembukaan beliau, Tan Sri Khalid menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sedar akan masalah-masalah yang dihadapi dalam pengurusan dan pentadbiran tanah. Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Tanah Negeri Selangor atau lebih dikenali sebagai ‘Taskforce Tanah’ untuk memperbaiki dan menstruktur semula sistem pentadbiran tanah merangkumi seluruh aspek. Pada tahun lepas, ‘Taskforce’ tersebut telah menyerahkan senarai cadangan yang bertujuan untuk meningkatkan sistem pentadbiran dan beliau berharap seminar ini akan mengemukakan dan membincangkan cadangan-cadangan tersebut.
Antara cadangan-cadangan yang dikemukakan ialah supaya pentadbiran daerah dan pentadbiran tanah dipisahkan bagi memudahkan tugas pegawai daerah. Dengan ini, pegawai daerah hanya akan menguruskan pembangunan di dalam daerah mereka sementara isu berkaitan pentadbiran dan pengurusan tanah akan dikendali oleh seorang pentadbir tanah.
Menteri Besar turut menyatakan cadangan beliau untuk melaksanakan satu sistem yang dikenali sebagai ‘First in first out’ dalam menguruskan semua permohonan tanah. Sistem ini bukan sahaja akan menjamin ketelusan malah akan menghapuskan perkhidmatan-perkhidmatan yang bertentangan dengan undang-undang dan tidak beretika yang diamalkan di pejabat tanah dan daerah.
“Sistem ini juga bertujuan untuk memastikan semua pihak dilayan secara adil. Sesiapapun tidak perlu untuk memberi duit kopi untuk meluluskan permohonan. Tidak ada apa-apa keistimewaan yang akan diberikan kepada pihak terlibat, melainkan terdapat kes-kes kecemasan seperti tanah runtuh dan bencana alam. Jika kita mendapati terdapat beberapa pihak mencari jalan pintas, kita akan memberi mereka amaran. Selepas tiga amaran, kita akan membekukan permohonan mereka selama setahun,” kata Menteri Besar.
Beliau menambah bahawa Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau setiap proses bagi memastikan segala garis panduan dipatuhi oleh semua pihak.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut menyatakan penghargaan beliau terhadap usaha Pejabat Daerah Kuala Langat kerana menganjurkan seminar ini. Seminar ini berjaya menarik ramai rakan-rakan sektor swasta termasuk pemaju-pemaju perumahan, jurutera-jurutera dan arkitek-arkitek tempatan.
SEKRETARIAT AKHBAR KERAJAAN NEGERI SELANGOR

