Masalah Penternak Lembu Ulu Yam Diatasi
Monday, 28 September 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
Masalah dua pemilik ladang ternakan lembu yang terbabit dalam kejadian longgokan sampah haram runtuh lalu menenggalamkan kira-kira 110 ekor lembu dan kambing berhampiran di kawasan Lembah Sungai Tua, Ulu Yam pada 23 September diatasi setelah exco kerajaan negeri Yaakob Saapari bertemu dengan mereka petang tadi.
Yaakob telah bertemu dengan dua penternak dan tiga wakil Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor di Pejabat Exconya di Shah Alam. Yang turut hadir dalam perjumpaan ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang sebelum itu telah menerima memorandum mereka. Kelima-lima mereka itu adalah antara 23 orang yang mengadakan perhimpunan di depan Bangunan SUK menuntut pampasan dan bantuan pada jam 2 petang tadi.
“Kerajaan negeri telah mengarahkan agar ladang salah seorang pemilik dibersihkan dan dibekalkan kayu untuk membina kandang sementara; manakala seorang lagi dipindahkan ke tapak baru kerana ladang itu bukan di atas tanah hak persendirian,” kata Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan itu dalam sidang media setelah perjumpaan tertutup itu.
Sambungnya, ADUN Gombak Azmin Ali akan berbincang dengan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak mencari tapak yang lebih sesuai bagi pemindahan ladang itu.
Yaakob juga berkata, Jabatan Veterinar akan memberi laporan penuh mengenai keadaan lembu dan persekitaran pada hari Rabu akan datang.
SEKRETARIAT AKHBAR KERAJAAN NEGERI SELANGOR

