19 DISEMBER 2008 LAPORAN KAJIAN BUKIT ANTARABANGSA

Monday, 29 December 2008 | Ruangan: Kenyataan Media

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor hari ini telah menerima satu salinan laporan ringkas geo-teknikal Bukit Antarabangsa daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah dihantar melalui pihak polis. Laporan tersebut akan dikaji dan dinilai bersama semua agensi serta jabatan kerajaan negeri yang terlibat bagi membolehkan status keselamatan di lima kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa diketahui.

Berikutan itu, kerajaan negeri Selangor melalui Dato’ Menteri Besar mengambil keputusan akan membuat pengumuman keputusan kajian status kawasan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada hari Ahad ini (21 Disember ) jam 10 pagi di Bukit Antarabangsa. Keputusan ini bakal menyaksikan pelan tindakan, kaedah pelaksanannya dan seterusnya langkah-langkah yang patut diambil oleh pihak kerajaan negeri yang akan direncanakan.

Seterusnya kerajaan negeri berharap semua pihak agar dapat bersabar sehinggalah keputusan berkaitan kajian ini diumumkan. Walaupun diakui pembangunan adalah perlu dalam mempertingkatkan produktiviti dan ekonomi negeri dan negara, setiap tindakan dalam keputusan ini adalah berkait rapat dengan kepentingan semua pihak dalam memartabatkan agenda ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR