18 DISEMBER 2008 KERAJAAN NEGERI SELANGOR SEPATUTNYA MENERIMA LAPORAN TANAH RUNTUH
Monday, 29 December 2008 | Ruangan: Kenyataan Media
Kerajaan negeri Selangor sepatutnya telah menerima satu laporan berhubung keadaan geo-teknikal dan laporan siasatan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) hari ini dan seterusnya bertemu dengan penduduk di Bukit Antarabangsa pada Jumaat (19 Disember) jam 10 pagi bagi menerangkan status kawasan terbabit serta memberikan beberapa langkah-langkah yang perlu diambil.
Keputusan berkaitan janji penyerahan laporan tersebut dibuat dalam satu sesi dialog bersama keluarga mangsa terlibat serta penduduk yang rumahnya turut terjejas telah dibuat pada Ahad yang lepas (14 Disember) dengan Dato’ Menteri Besar Selangor, wakil kerajaan negeri, IKRAM dan JKR.
Walau bagaimanapun, kerajaan negeri Selangor telah dimaklumkan bahawa pihak kementerian telah mengeluarkan arahan supaya laporan tersebut tidak diserahkan kepada kerajaan negeri seperti mana yang telah dijanjikan.
Keputusan ini telah mengecewakan banyak pihak bukan sahaja pihak kerajaan negeri bahkan juga penduduk Bukit Antarabangsa serta rakyat seluruh Selangor amnya. Kerajaan negeri masih memberi waktu kepada Menteri serta JKR untuk menimbangkan semula arahan terbabit dan menyerahkan satu salinan laporan tersebut.
Arahan tidak memberi salinan laporan tersebut dilihat satu usaha sabotaj kepada pihak kerajaan negeri Selangor yang sedang berusaha keras untuk membantu mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.
Kerajaan negeri difahamkan bahawa, laporan tersebut terus diberi kepada Menteri Kerja Raya dan setelah beliau mengumumkan laporan tersebut barulah kerajaan negeri Selangor akan mendapat salinan laporan tersebut. Menteri Kerja Raya serta kerajaan pusat dilihat seolah-olah ingin menjadi ‘hero’ dalam hal ini serta menafikan kuasa dan penglibatam kerajaan negeri Selangor. Saya melihat keputusan ini dibuat adalah atas dasar kepentingan politik murahan pihak terbabit yang sepatutnya tidak harus timbul dalam soal memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa.
Kedua-dua pihak kementerian dan kerajaan negeri sepatutnya bersatu dalam memberikan bantuan kepada mangsa dan bukannya cuba mencuri perhatian umum dengan politik kotor. Ini hanya akan memberi kesan buruk terhadap proses pembangunan kawasan terbabit serta turut menyusahkan banyak pihak terutamanya mangsa yang terlibat. Kerajaan negeri juga masih tidak faham kenapa laporan tersebut hanya diserahkan kepada Menteri Kerja Raya dan langsung tidak diberi salinan laporan tersebut.
Oleh demikian, saya menyeru supaya Menteri Kerja Raya dapat menyerahkan salinan laporan tersebut kepada kerajaan negeri dengan seberapa segera bagi memudahkan kerajaan negeri mengambil langkah yang perlu untuk membantu setiap mangsa terlibat.
Elizabeth Wong
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar

