Kedai Serbaneka Amal Kawal Selia Sendiri Dalam Penjualan Minuman Beralkohol

Friday, 07 August 2009 | Ruangan: Kenyataan Media

SHAH ALAM: Kedai serbaneka di Shah Alam akan mengamalkan kawal selia sendiri (self-regulation) dalam penjualan minuman keras untuk menjaga sensitiviti masyarakat Islam berhubung dengan isu tersebut.

Persetujuan bagi mengambil pendekatan kawal selia sendiri tersebut sudah tercapai dalam satu perjumpaan antara Menteri Besar Selangor, pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pengurus kedai serbaneka sekitar Shah Alam di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Antara saranan dalam pendekatan tersebut adalah tidak mempamerkan minuman keras di kaunter jualan tetapi dijual berdasarkan permintaan.

Langkah ini merupakan tambahan kepada peraturan sedia ada yang melarang penjualan minuman keras kepada orang Islam dan mereka di bawah umur 18 tahun.

Pendekatan ini bakal dipantau dan dikaji dalam tempoh satu bulan sebelum suatu kaedah yang standard dirangka bagi seluruh negeri.

“Ini adalah penyelesaian terbaik bagi negeri Selangor dalam menangani isu ini. Kami yakin bahawa usaha ini dapat mengurangkan masalah sosial yang berlaku akibat minuman keras, serta menjauhkan pelajar dan orang muda daripada membeli minuman keras,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid memohon kepada semua pihak agar menghormati persetujuan yang dicapai hari ini dan berhenti daripada mempolitikkan isu ini sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat majmuk Selangor.

“Kerajaan negeri memahami kerisauan masyarakat awam sekiranya minuman keras disalahgunakan dan menyebabkan masalah sosial, namun kami percaya masalah ini dapat ditangani melalui pendidikan dengan penduduk, kerajaan negeri, agensi kerajaan, kumpulan perniagaan dan masyarakat sivil masing-masing memainkan peranan dan tanggungjawab secara berkesan.”

Tambah Khalid, atas dasar itu kerajaan negeri memilih kaedah kawal selia sendiri dan bukannya mengenakan lebih banyak undang-undang yang kemungkinannya tidak berkesan.

Dato’ Menteri Besar juga berterima kasih kepada semua operator kedai serbaneka yang telah hadir ke perjumpaan hari ini termasuk 7-Eleven, KK Supermarket dan 99 Speedmart, atas komitmen yang diberikan untuk melaksanakan pendekatan itu.

Dalam perjumpaan itu, semua pemilik juga memaklumkan bahawa mereka sentiasa sensitif terhadap permintaan penduduk tempatan berhubung dengan isu itu. Setakat ini, 7-eleven telah menghentikan penjualan minuman keras di 10 buah kedai mereka daripada jumlah 17 buah kedai di Shah Alam mulai 5 Ogos lalu.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR