Persidangan Ahli Majlis PBT Selangor
Thursday, 06 August 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
Kerajaan Negeri Selangor bakal mengadakan Majlis Persidangan Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Selangor 2009/2010 pada 13 Ogos ini, dari jam 9.45 pagi sehingga 5.00 petang bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).
Persidangan ini merupakan persidangan kali kedua diadakan di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat ekoran pengumuman barisan baru Ahli Majlis bagi sesi 2009/2010 baru-baru ini.
Dalam persidangan itu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal menyerahkan surat perlantikan kepada sejumlah 288 orang Ahli Majlis yang mana 20 peratus merupakan muka-muka baru dan selebihnya Ahli Majlis lama yang sudah pun berpengalaman.
Ahli-ahli Majlis seterusnya dijangka membaca ikrar penerimaan jawatan sebagai tanda komitmen mereka berkhidmat untuk rakyat dan merealisasikan visi kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan dan hak seluruh warga Selangor melalui program “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.
Antara dua kertas kerja yang bakal dibentangkan dalam persidangan itu adalah seperti berikut:
1) “Peranan dan Cabaran Masa Kini Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan”
2) “Pengenalan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Negeri Selangor”.
Sesi soal jawab yang berlangsung setelah selesai pembentangan kertas kerja dijangka dapat mempertingkatkan pemahaman dan kerjasama di kalangan Ahli Majlis bagi memantapkan lagi sistem pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Jawatankuasa penganjur iaitu Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan Selangor (Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor) di bawah pimpinan Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan juga memohon agar pegawai kerajaan dan Ahli-ahli Majlis yang bakal hadir ke persidangan itu menjalankan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebagai langkah pencegahan virus H1N1 daripada terus merebak.
SEKRETARIAT AKHBAR
KERAJAAN NEGERI SELANGOR



