Pembakaran Terbuka Jerami Padi
Thursday, 09 July 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
Mengikut peruntukan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (aktiviti -aktiviti yang diisyitiharkan) (Pembakaran Terbuka) 2003, aktiviti pembakaran jerami padi untuk tujuan tanaman semula adalah dibenarkan dengan syarat-syarat berikut:
1) Hendaklah dikeringkan dalam tempoh minimum selama 7 hari sebelum pembakaran,
2) Semasa cuaca kering di antara jam 1.00 petang dan jam 5.00 petang
3) Dipantau dan dikawal dengan rapi
4) Jika asap dan habuk yang terhasil daripada pembakaran itu tidak menganggu lalu lintas dan jika amaran yang mencukupi tentang bahaya yang mungkin timbul telah diberikan kepada pengguna jalan raya sekiranya pembakaran dilakukan berhampiran dengan jalan raya atau laluan utama yang lain.
5) Tidak menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk yang berhampiran atau menganggu kebolehan lihatan biasa dan
6) Balai polis yang terdekat telah dimaklum sebelum pembakaran itu dilakukan
Setakat ini aktiviti pembakaran jerami dijalankan secara terkawal.
Di antara langkah-langkah yang diambil bagi mengurangkan kuantiti jerami padi yang perlu dibakar ialah melaksanakan program Pengurusan Jerami Padi di mana jerami padi digunakan sebagai baja kompos, pelapik ‘feet lot’ lembu, bahan kajian untuk dijadikan makanan lembu dan bahan untuk digunakan sebagai ’soil erosin and control’ bahan-bahan kitar semula dan sebagainya.
Kerajaan Selangor memang prihatin terhadap masalah jerebu, yang merupakan isu yang menjejaskan bukan sahaja ngeri bahkan seluruh negara Malaysia.
Dari aspek pembakaran jerami padi,pihak kerajaan telah banyak berunding dengan petani-petani untuk menasihati mereka menggunakan kaedah pembuangan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Oleh kerana pendidikan ini adalah matlamat jangka masa panjang, buat sementara waktu, kami membenarkan pembakaran jerami secara kecil-kecilan di kawasan tertentu sahaja, mengikut syarat -syarat yang disebutkan di atas.
Walau bagaimanapun punca jerebu yang lebuh besar merupakan pembakaran terbuka secara haram untuk meneroka tanah. memandangkan fenomena El-nino yang akan datang pasti menjadikan keadaan lebih teruk, pihak kerajaan telah bermesyuarat dengan Jabatan Alam Sekitar, pihak bomba, Jabatan Pertanian, Jabatan Meterologi dan agensi-agensi lain untuk menangani pembakaran terbuka dan kami telah bersetuju untuk melaksanakan pelan tindakan bagi memastikan kualiti udara di Selangor tidak akan terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

