RUNDINGAN PENSTRUKTURAN SEMULA AIR SELANGOR
Wednesday, 01 July 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor pada dasarnya berpuashati dengan perkembangan terkini proses perundingan pembelian semula aset-aset air milik empat konsesi air dalam usaha penstrukturan semula
perkhidmatan industrI air di Selangor.
Konsortium Abass Sdn. Bhd. (Abass) telah bersetuju untuk menerima tawaran Kerajaan Negeri sebanyak RM946 Juta. Kerajaan Negeri berterima kasih kepada Abass di atas keputusan ini kerana membolehkan Kerajaan Negeri memberikan perkhidmatan air yang lebih baik serta murah kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Rundingan bersama dua syarikat konsesi yang lain, iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan Syarikat Bekalan Air Sdn. Bhd. (Syabas) masih dalam proses dan Kerajaan Negeri berharap dapat mencapai penyelesaian dalam masa terdekat.
Kerajaan Negeri akan menyelesaikan isu-isu sub-kontrak yang melibatkan Splash sementara Syabas menantikan keputusan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung dengan tawaran yang dibuat oleh kerajaan Negeri.
Setakat ini yang pasti, hanya Puncak Niaga Holding Berhad menolak tawaran kerajaan negeri. Walaubagaimanapun, keadaan ini tidak akan melemahkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam usaha penstrukturan semula industri air di Selangor.
Kerajaan Negeri, melalui jawatankuasanya akan memerbincang langkah seterusnya dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Walaupun banyak isu teknikal yang perlu diatasi Kerajaan Negeri tetap berpandangan positif terhadap keputusannya.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

