Penjelasan Isu Kos Pengurusan Pejabat Ahli Majlis
Friday, 19 June 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) sudah melaksanakan beberapa langkah bagi memantapkan lagi tugas Ahli Majlis, antaranya kos pengurusan bulanan bagi setiap pejabat Ahli Majlis dalam lingkungan RM1,000 hingga RM2,500 sebulan bagi sewaan pejabat, gaji kakitangan dan utiliti.
Semalam (18 Jun) Ketua Pembangkang negeri Selangor Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mendakwa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid IbrahimĀ mengelirukan rakyat dalam isu elaun Ahli Majlis dan kos pengurusan bulanan pejabat Ahli Majlis (Sinar Harian, ms S3, 18 Jun 2009), yang jelas cuba memutarbelitkan fakta sebenar meskipun persoalan tersebut sudah pun dijelaskan dalam DUN lalu.
Kos pengurusan bulanan bagi setiap pejabat Ahli Majlis disediakan kerana adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan Ahli Majlis yang dilantik oleh kerajaan negeri itu mendapat kemudahan asas untuk menjalankan tugas harian.
Antara 12 PBT di negeri Selangor, enam PBT menyediakan kos pengurusan bulanan dari RM1,000 hingga RM2,000; lima PBT dari RM2,000 hingga RM2,500; dan satu PBT yang tidak menyediakan apa-apa peruntukan bagi pengurusan pejabat Ahli Majlis. Perbezaan kadar wujud disebabkan oleh kapasiti dan keupayaan PBT masing-masing.
Walau bagaimanapun, sekiranya pejabat Ahli Majlis terletak di bangunan milikan PBT, kos sewaan pejabat mungkin diserapkan ke dalam akaun PBT.
Elaun Ahli Majlis juga dinaikkan mulai 1 September 2008 berikutan setiap Ahli Majlis dipertanggungjawabkan dengan satu zon sekarang, iaitu elaun Ahli Majlis kawasan perbandaran dan kawasan bandaraya yang sebelum ini dibayar pada kadar berbeza iaitu RM500 dan RM750 sebulan diselaraskan kepada RM750 sebulan; elaun Ahli Majlis daerah yang sebelum ini RM300 sebulan dinaikkan kepada RM500 sebulan.
Elaun mesyuarat ahli majlis PBT yang kadarnya antara RM40 hingga RM100 mengikut kawasan juga diselaraskan kepada RM100 bagi setiap kali mesyuarat, bukannya RM150 seperti mana didakwa oleh Ketua Pembangkang negeri Selangor.
Selain polisi baru yang diperkenalkan, kerajaan negeri mengekalkan sistem peruntukan bagi setiap Majlis Perwakilan Penduduk(MPP)(tertakluk kepada PBT masing-masing) untuk menggerakkan program kemasyarakatan dan kebajikan tanpa kira kaum, agama dan latar belakang.
Kerajaan Negeri Selangor mengingatkan Ketua Pembangkang itu agar berhenti merosakkan imej baik kerajaan negeri yang sentiasa telus dalam proses membuat keputusan atas landasan rakyat berhak mendapat perkhidmatan yang setimpal dengan nilainya.
Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor

