Sistem Undi Terbuka Kontraktor PBT Selangor
Wednesday, 17 June 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
SHAH ALAM, 17 Jun – Kerajaan Negeri Selangor bertekad dalam memperkenalkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan urustadbir baik dalam pentadbirannya. Kerajaan negeri mengambil kira keprihatinan yang dikemukakan oleh pihak tertentu dalam isu pelantikan kontraktor bagi kerja pengurusan sampah di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Kerajaan negeri sedang mengkaji beberapa cadangan bagi mewujudkan mekanisme yang telus dalam melantik kontraktor di samping membuka peluang perniagaan yang sebelum ini berada dalam tangan Barisan Nasional dan Umno kepada orang awam.
Setelah perbincangan lanjut, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini bersetuju untuk mengadakan sistem pengundian secara terbuka dalam proses pelantikan kontraktor pengurusan sampah. Langkah ini membolehkan semua syarikat yang berkeupayaan mempunyai peluang saksama untuk dipilih. Butiran lanjut berkenaan kaedah sistem tersebut dijalankan bakal diumumkan dalam masa terdekat.
Kerajaan Negeri berharap agar kaedah ini yang dijalankan bersama dengan Jawatankuasa Audit yang bakal ditubuhkan dapat memastikan kontraktor yang benar-benar layak memperoleh kerja tersebut, serta mengurangkan kemungkinan amalan rasuah dan tidak beretika. Kerajaan negeri juga bercadang mendapatkan khidmat nasihat daripada Transparency International berhubung dengan perkara ini.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

