KENYATAAN MEDIA ISU AHLI MAJLIS MPK CUBA ROBOH PENTAS PERAYAAN TOKONG TIDAK BENAR

Thursday, 11 June 2009 | Ruangan: Kenyataan Media

Dakwaan Ketua MCA Bahagian Kapar Dato’ Song Kee Chai bahawa Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) cuba meroboh pentas dan khemah perayaan tokong Guan Sheng Gong atas dasar Ahli Majlis PAS tersebut tidak hormati agama lain adalah tidak benar.

Song telah mendakwa 30 pegawai MPK di bawah pimpinan seorang Ahli Majlis PAS cuba merobohkan pentas perayaan tokong di Taman Wangi, Batu 11 Kapar (Guang Ming Daily, 8 Jun 2009). Kerajaan Negeri Selangor kecewa dengan tindakan Song kerana memutarbelitkan fakta dan kebenaran perkara tersebut.

Pertama sekali, ahli majlis yang dimaksudkan oleh Song adalah Noriah bt Abdul Rahman yang mewakili pihak NGO dan bukan parti PAS seperti didakwa.

Keduanya, MPK bertindak ekoran menerima aduan daripada penduduk Taman Sri Wangi, Kapar berkenaan bunyi bising daripada hiburan wayang tokong pada waktu malam dari 2-8 Jun 2009. Maka tidak timbul persoalan tidak menghormati agama lain.

Ketiga, Noriah bt Abdul Rahman bersama selaku Ahli Majlis dan 8 orang pegawai MPK telah ke lokasi aduan iaitu Batu 11 Kapar pada 5 Jun 2009, dari jam 10.00-11:30 pagi untuk meninjau keadaan sebenar, bukannya 30 orang pegawai untuk merobohkan pentas ataupun khemah perayaan tokong seperti didakwa Song.

Walau bagaimanapun, Ahli Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, YB Ronnie Liu Tian Khiew telah mengarahkan saman-saman yang dikeluarkan oleh MPK kepada AJK tokong pada hari tersebut dibatalkan untuk mengelakkan sebarang salah faham.

Kerajaan Negeri Selangor menegaskan Song tidak wajar sama sekali mengaitkan kes ini dengan isu Kerajaan Negeri tidak menghormati agama lain atau memainkan sentimen perkauman hanya untuk kepentingan politik sendiri.

SEKRETARIAT AKHBAR KERAJAAN NEGERI SELANGOR