KENYATAAN MEDIA PERBINCANGAN MENGENAI KERJA-KERJA PEROBOHAN SISA RUNTUHAN
Wednesday, 10 June 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
SHAH ALAM: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) hari ini dimaklumkan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya bahawa pemilik bangunan Jaya Supermarket sudah membuat permohonan supaya notis pemberhentian kerja-kerja ditarik balik.
Permohonan ini dikemukakan oleh Syarikat Jaya Section Fourteen Sdn Bhd bagi tujuan membersihkan sisa runtuhan serta merobohkan dinding yang setinggi 19 meter yang masih tinggal selepas kejadian bangunan runtuh pada 28 Mei lalu yang mengorbankan tujuh nyawa.
Kerajaan Negeri sedar permohonan ini adalah untuk memastikan keselamatan penduduk serta orang ramai di kawasan berkenaan. Namun demikian, Kerajaan Negeri tidak boleh menarik balik notis pemberhentian kerja tanpa perancangan yang kemas.
Oleh itu, Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan MBPJ mendapatkan maklumat yang terperinci dari Syarikat Jaya Section Fourteen Sdn Bhd dan semua pakar runding yang terlibat berkenaan kaedah kerja perobohan yang dirancang untuk meruntuhkan sisa bangunan tersebut.
Kerajaan negeri akan hanya menarik balik notis pemberhentian jika pihak MBPJ dan IKRAM (Institut Kerja
Raja Malaysia) mengesahkan kaedah kerja perobohan sebagai selamat.
MBPJ juga telah memaklumkan bahawa perbincangan bersama pemilik Jaya Supermarket, pakar perunding dan IKRAM akan bermula petang ini. Kerajaan Negeri berharap satu keputusan akan boleh dibuat secepat mungkin supaya penduduk yang diarahkan berpindah dapat kembali ke kediaman masing-masing.
Kerajaan Negeri telah mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya terus meneliti serta memantau semula sebarang projek-projek yang sedang dijalankan yang mana melibatkan enam syarikat yang telah disenaraihitamkan bagi memastikan keselamatan projek-projek berkenaan terjamin.
Senarai syarikat yang disenaraihitamkan dan dihalang daripada pembangunan projek akan datang di Selangor adalah seperti berikut:
i) Jaya Section Fourteen Sdn Bhd (Pemilik tanah dan pemaju)
ii) DP Architects Sdn Bhd (Pihak mengemukakan permohonan pelan projek)
iii) Meinhardht (M) Sdn Bhd (Jurutera)
iv) Pembinaan CW Yap Sdn Bhd (Kontraktor)
v) Jurutera Perunding Sdn Bhd (Jurutera Kontraktor)
vi) DLS Management (Pengurus Projek)
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

