09 APRIL 2009 KETERBUKAAN KERJASAMA DIPERLUKAN BERSAMA BARISAN KABINET BARU

Thursday, 09 April 2009 | Ruangan: Kenyataan Media

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan perlantikan barisan anggota kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak petang tadi. Kerajaan Negeri berharap agar wujudnya ruang persefahaman agar Kerajaan Negeri Selangor turut terlibat di dalam setiap perancangan pembangunan di Malaysia.

Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa kini adalah penting bagi mencari penyelesaian berkaitan penstrukturan semula industri air di Selangor yang dirancangkan oleh Kerajaan Pusat. Kerajaan Negeri sememangnya berhasrat untuk mencari jalan penyelesaian muhibah melalui proses arbitrasi di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan syarikat konsesi air.

Juga diharapkan agar Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang baru dapat membantu Kerajaan Negeri dalam menyediakan perkhidmatan bekalan air yang efisyen serta pada kadar yang rendah bagi seluruh warga Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan Negeri Selangor akan berhubung dengan Menteri di Unit Perancang Ekonomi dan Menteri Kewangan yang baru berkenaan pakej rangsangan ekonomi yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri telah mengenalpasti lima bidang pengkhususan untuk memberangsangkan suasana ekonomi kini, antaranya pemuliharaan dan pembersihan Sungai Klang yang melibatkan pembangunan tanah dan hutan simpanan sepanjang sungai.

TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR SELANGOR