08 APRIL 2009 KEPUTUSAN PILIHAN RAYA KECIL MEMPERLIHATKAN KEMATANGAN PENGUNDI DI MALAYSIA

Wednesday, 08 April 2009 | Ruangan: Kenyataan Media


SHAH ALAM
: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada tiga pemenang di tiga kawasan pilihan raya kecil yang menunjukkan Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kerusi Parlimen di Bukit Gantang-Perak, dan kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau-Kedah, manakala Barisan Nasional mengekalkan kerusi DUN Batang Ai-Sarawak.

Sesungguhnya kemenangan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau memberikan petunjuk betapa matangnya para pengundi di Malaysia dalam hal menggunakan hak-hak mereka yang dilindungi Perlembagaan, secara bijaksana.

Jelas sekali, dalam keghairahan segelintir pihak tertentu memainkan isu perkauman dan agama, namun pilihan raya kecil tersebut berhasil memperlihatkan sikap majoriti pengundi yang lebih mengutamakan parti yang didukungi mengatasi sentimen semata-mata.

Sebaliknya, keadaan di Batang Ai agak berbeza kerana keadaan itu tidak menggambarkan sentimen pengundi sebenar lantaran penduduk setempat menghadapi pelbagai sekatan termasuk akses terhadap media, komunikasi dan sistem pengangkutan yang menyukarkan.

Kami merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya melanjutkan masa kempen di kawasan-kawasan pedalaman seperti Batang Ai bagi membolehkan bakal pengundi mendapatkan maklumat yang secukupnya.

Dalam isu yang berkaitan, Kerajaan Negeri percaya betapa perlunya Kerajaan Persekutuan menilai kos bagi membiayi pilihan raya kecil. Nampaknya sejumlah besar sumber kewangan terpaksa dibelanjakan, dan dalam hal ini para pembayar cukai sepatutnya menyedari yang sumbangan mereka digunakan bagi tujuan yang lebih berfaedah.

Sebagaimana yang dihasratkan oleh Kerajaan Persekutuan, kita juga bercadang untuk menubuhkan dana khusus bagi pilihan raya sebagaimana diwujudkan di beberapa negara maju.

Hal ini bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam hal membelanjakan wang tanpa perlu mendatangkan risiko terhadap proses pilihan raya yang efisien di Malaysia.

TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR