Perutusan Hari Wanita Sedunia

Wednesday, 08 April 2009 | Ruangan: Kenyataan Media

Tema: Kembalikan kepada wanita nikmat rasa selamat dan aman di Malaysia (Restore peace and security for women in Malaysia )
 
Barisan Kepimpinan Wanita Pakatan Rakyat berhimpun bersama-sama meraikan  Hari Wanita Sedunia dan setahun setelah Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran lima buah negeri pada 8 Mac 2009.

Berpuluh-puluh tahun sejak Malaysia ditubuhkan, wanita di Malaysia masih belum mengalami nikmat rasa selamat dan aman. Di manakah silapnya perancangan, aplikasi  dan implementasi Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan terhadapnya?

Kerajaan Malaysia belum dapat mewujudkan suasana dan prasarana aman dan selamat lagi kondusif bagi wanita menjalani segala aktiviti pembangunan negara, samada secara langsung atau tidak langsung.

Setiap hari di Malaysia berlaku sebanyak 8.2 kes keganasan rumahtangga, 6.7 kes rogol, kes-kes gangguan seksual yang tidak dilaporkan, keperluan wanita Orang Asli yang tidak dipenuhi dan keperluan wanita kurang upaya yang masih tidak difahami.

Berlaku juga peningkatan kes HIV/Aids di kalangan wanita berkahwin dan kes-kes jenayah yang banyak seperti samun dan ragut. Diskriminasi dalam bidang pekerjaan, gangguan seksual, khususnya dalam sektor awam juga tetap berlaku tanpa penyelesaian yang wajar dan diambil tindakan  dengan kadar segera.

Dalam sektor ekonomi, sebahagian besar Wanita Malaysia juga belum lagi berada dalam arus perdana pembangunan ekonomi. Menurut satu kajian, kira-kira lebih sejuta pekerja wanita masih di bawah paras kemiskinan (yang berpendapatan kurang dari RM1500). Status mampu kendiri wanita luar bandar adalah jauh lebih parah. Pemberdayaan ekonomi wanita di Malaysia haruslah menjadi antara agenda utama dalam usaha memberdaya wanita.  
  
Jika diteliti, penglibatan wanita dalam arus pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan dan politik masih memerlukan rangsangan untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti mereka. 

Realiti kehidupan kini menjadikan wanita nadi dalam berbagai lapangan selain dalam rumahtangga mereka. Wanita adalah pencetus perubahan, pemelihara budaya dan agama dan perancang masa depan generasi mendatang.

Kerajaan Malaysia telah gagal membimbing Wanita Malaysia ke suatu tahap kualiti insan yang dapat meningkat persepsi umum secara norma bahawa Wanita Malaysia adalah insan-insan yang berdaya (empowered) dan cemerlang dalam peranan mereka yang pelbagai.

Kerajaan yang bertanggungjawab adalah dituntut untuk sentiasa mewujudkan suatu suasana yang selamat dan aman bagi wanita dan kehidupan mereka di Malaysia.   Ia bukanlah sesuatu yang mustahil.   Ia akan dapat dilaksanakan jika pendekatan non-partisan dan kebersaaman yang luhur dan telus menjadi ciri utama mendekati sebarang permasalahan wanita.

Permasalahan wanita adalah permasalahan semua rakyat, tanpa mengira ideologi politik, perbezaaan ras dan agama.  

Mengarusperdanakan gender (Gender Mainstreaming) yang menjadi asas kepada kejayaan Dasar Wanita Negara dan pencapaian cita-cita Millenium (the Millennium Goals) masih belum berjaya sepenuhnya dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia pimpinan Umno-BN.

Kedudukan wanita di mana saja adalah suatu amanah yang mesti dipenuhi. Ia perlu disokong oleh kefahaman yang mantap mengenai gender dari kalangan pemimpin dan masyarakat dan oleh sistem-sitem sokongan agar wanita memainkan peranan besar itu dengan nikmat rasa selamat dan aman.

Sinergi kefahaman terhadap gender dan mewujudkan sistem sokongan akan menghasilkan wanita Malaysia yang berdaya-saing (empowered) dan cemerlang dalam peranannya sebagai ibu, isteri, pendidik, penegak kebenaran dan keadilan sejagat.

Selepas setahun mendengar rintihan wanita, berbicara dengan mereka dan prihatin terhadap kekhuatiran mereka, kami telah cuba untuk memahami dan melaksanakan keperluan para wanita.  

Dengan itu, kebersamaan kami di sini hari ini adalah pernyataan bahawa kami akan terus memberikan komitmen terhadap memenuhi hak-hak wanita dan kesetaraan gender (women’s rights and gender equality). Kami juga memberikan penegasan bahawa kami ingin terus bekerjasama dengan lelaki dan wanita untuk melakukan perubahan dan ingin mengembalikan nikmat rasa selamat dan aman kepada wanita Malaysia.

Kepada Mu Wanita, ”Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia”
                                                         
Rodziah Ismail
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan,
Kebudayaan, Sains, Inovasi & Teknologi
Kerajaan Negeri Selangor

 
Disokong oleh wanita-wanita Pakatan Rakyat