25 FEB 2009 CUTI YB ELIZABETH WONG DI PANJANGKAN
Wednesday, 25 February 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
SHAH ALAM: Menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj atas kepercayaan penuh kepada Dato’ Menteri Besar Selangor serta barisan EXCO untuk membuat keputusan tentang status YB Elizabeth Wong (EXCO Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar).
Kerajaan Negeri juga amat berbesar hati dengan kebijaksanaan Tuanku Sultan dalam memberi pendapat tentang pencerobohan hak peribadi individu. Sebagaimana titah Tuanku Sultan, perbuatan menceroboh hak peribadi seseorang individu adalah menyedihkan, lebih-lebih lagi jika ianya digunakan untuk kepentingan politik.
Setelah membuat perbincangan dengan semua EXCO berkaitan isu ini didalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk meneruskan cuti YB Elizabeth Wong sementara menunggu siasatan polis selesai. Sebarang keputusan hanya akan dibuat setelah siasatan selesai.
Seperti mana yang telah dititah Tuanku Sultan, Kerajaan Negeri akan membuat keputusan yang adil serta mengambil kira kepentingan rakyat khasnya dan Negeri Selangor amnya.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

