25 FEB 2009 TAKLIMAT KEPADA TUANKU SULTAN SELANGOR

Wednesday, 25 February 2009 | Ruangan: Kenyataan Media

SHAH ALAM: Dato’ Menteri Besar Selangor hari ini telah bertemu dengan DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Mestika, Shah Alam. Dato’ Menteri Besar memberi taklimat kepada Tuanku Sultan tentang hal ehwal pentadbiran termasuk tohmahan berkaitan derma lembu korban dan tuntutan selenggara kereta persendirian.

Tuanku Sultan Selangor telah menyatakan pendirian untuk tidak membantah penggunaan kereta peribadi sebagai kenderaan rasmi jika semua prosedur undang-undang dipatuhi. Dato’ Menteri Besar juga telah memaklumkan kepada Tuanku Sultan bahawa beliau telah mengikuti segala proses undang-undang yang telah ditetapkan.

Berkenaan isu derma lembu korban pula, Tuanku Sultan tidak ada apa-apa halangan terhadap usaha sedekah, malah menggalakkan segala usaha kebajikan ini diteruskan dan dipanjangkan kepada kawasan Kuala Lumpur termasuk Bandar Tun Razak.

Dalam hal ini, Dato’ Menteri Besar juga akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan penjelasan SPRM berikutan kenyataan pengerusinya baru-baru ini.

Dalam pada itu, satu satu proses undang-undang akan terhadap Pengerusi GERAK atas segala tomahan salahguna kuasa seperti yang disiarkan dalam media.

Dato’ Menteri Besar Selangor sekali lagi ingin menegaskan bahawa setiap keputusan Kerajaan Negeri Selangor adalah berlandaskan undang-undang dan mengutamakan setiap kepentingan rakyat secara
keseluruhanya.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR