19 FEB 2009: KEPUTUSAN SPAN MENAFIKAN HAK KERAJAAN NEGERI SELANGOR DALAM PELAKSANAAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR SANGAT DIKESALI
Thursday, 19 February 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor kecewa terhadap keputusan Ketua Pegawai Eksekutif (Ceo) Suruhanjaya Air Negara (SPAN) Dato’ Teo Yen Hua untuk berunding terus dengan empat syarikat konsesi dalam usaha pengambilalihan aset perawatan dan pengagihan air sebagai sebahagian pelaksanaan penstrukturan semula di Selangor.
Tindakan tersebut dilihat tidak konsisten dengan keputusan Kerajaan Pusat pada 16 Januari 2008, yang membenarkan Kerajaan Negeri, menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), untuk mengambil alih operasi dan penyenggeraan aset air daripada konsesi-konsesi air di Selangor, secara bersama.
Tindakan itu akhirnya boleh menyebabkan berlakunya penjualan dan pencagaran semula aset perawatan dan pengagihan air daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Sebagai tindakan kepada keputusan tersebut, Kerajaan Negeri sebenarnya sedang melakukan usaha-usaha tertentu bagi memastikan bahawa pelaksanaan penstrukturan semula dalam disempurnakan bagi manfaat rakyat Selangor dan Kuala Lumpur.
Keputusan SPAN itu nyata meremehkan Perlembagaan Persekutuan dan hubungan Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri. Sehubungan ini, Kerajaan Selangor mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh SPAN itu yang sepatutnya terletak dalam bidang kuasa Kementerian Tenaga, Ar dan Komunikasi (KTAK). Kami percaya tindakan SPAN itu juga tidak konsisten dengan semangat yang terkandung dalam Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA) tahun 2006.l
Keputusan SPAN juga tidak konsisten dengan peruntukan seksyen 191(4) WSIA tahun 2006 yang mengkehendaki supaya syarikat-syarikat konsesi mengadakan rundingan dengan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dalam kapasitinya sebagai pihak pengantara dalam perjanjian-perjanjian konsesi dan perjanjian tambahan.
Di samping membantu inisiatif Kerajaan Negeri untuk membeli semua konsesi air ini bagi kepentingan rakyat menerusi tawaran kami yang berpatutan, nampaknya pihak Dato’ Teo lebih mengutamakan kepentingan konsesi-konsesi persendirian. Oleh itu kami mendesak agar beliau menyatakan pendiriannya dalam hal ini. Jika berlaku penyelewengan, maka pihak kami mencadangkan supaya beliau meletak jawatan.
Kerajaan Negeri percaya keputusan SPAN yang diragui itu boleh mendatangkan implikasi negatif yang mendalam di pihak rakyat Malaysia yang menetap di Selangor dan Kuala Lumpur. Maka kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan untuk meneruskan usaha bagi melindungi kepentingan orang ramai melalui semua cara, dan memastikan rakyat Selangor dan rakyat Kuala Lumpur menikmati air bersih dengan harga yang rendah.
TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

