17 FEB 2009 KERAJAAN NEGERI MOHON NASIHAT DYMM SULTAN

Tuesday, 17 February 2009 | Ruangan: Kenyataan Media

Saya ada menerima surat YB Elizabeth Wong yang menyatakan hasrat beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO). Perkembangan mutakhir ini sangat malang kerana YB merupakan antara Adun dan AMKN yang dinamik.

Sebagaimana yang saya nyatakan kelmarin (16 Februari 2009), selama sebelas bulan yang lepas ini YB Elizabeth telah bekerja keras untuk melaksanakan tugasnya dengan tekun dan dedikasi. Melihatkan beliau sedang menghadapi saat yang paling mencabar kewibawaannya dalam kerjaya politik ini, saya menasihati beliau agar bercuti bagi merehatkan minda yang runsing.

Sehubungan ini, saya ingin menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi menyembahkan isu yang sedang melanda Kerajaan Negeri dan lantas memohon nasihat dan petunjuk daripada Baginda.

Situasi sekarang amat mengecewakan kerana situasi yang melanda hal peribadi YB Elizabeth cuba dikeruhkan lagi oleh kalangan mereka yang berniat jahat untuk mencemar nama dan integriti beliau.

Namun, saya percaya rakyat Malaysia dan rakyat Selangor khususnya, sedia bersama saya dalam usaha menolak taktik kotor yang digunakan oleh kumpulan desperado politik tertentu yang bertujuan memalukan peribadi pemimpin berjiwa rakyat yang sedang dipupuk dalam Kerajaan Negeri Selangor sekarang.

TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR