16 FEB 2009 TAKLIMAT AWAM PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR SELANGOR
Monday, 16 February 2009 | Ruangan: Kenyataan Media
Shah Alam – Kerajaan Negeri Selangor Pimpinan Pakatan Rakyat buat julung-julung kalinya akan mengadakan satu program taklimat awam – Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Selangor, pada 18 Febuari (Rabu), jam 11 pagi, di Auditorium Dewan Jubli, Bangunan SSAAS, Shah Alam. Taklimat akan diberikan oleh ahli-ahli Panel Penilai Air, Kerajaan Negeri Selangor.
Taklimat awam ini bertujuan bagi menerangkan kepada masyarakat umum mengenai usaha penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri Selangor. Objektif taklimat awam diadakan adalah untuk menjelaskan latar belakang proses penstrukturan semula industri air di Selangor, memberi maklumat yang relevan dengan rancangan dan tindakan semua situasi semasa. Arah Kerajaan Negeri dalam hal penstrukturan semula perkhidmatan air negeri Selangor akan dibincangkan serta memberi penekanan terhadap kepentingan orang ramai dalam hal penstrukturan semula industri air.
Justeru itu, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri Selangor bagi merencanakan objektif taklimat ini supaya dapat direalisasikan. Kerajaan Negeri Selangor juga berharap program seperti ini akan menjadi buah mulut serta contoh terbaik perbincangan secara terbuka anjuran Kerajaan Pakatan Rakyat untuk rakyat. Program sebegini juga sebenarnya akan memberi lebih ruang serta peluang kepada Kerajaan Negeri bagi meneruskan lagi kesinambungan polisi “Merakyatkan Ekonomi Selangor” seiring dengan perjuangan Kerajaan Pimpinan Pakatan Rakyat yang mementingkan Negeri Berkebajikan.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

