16 FEBRUARI 2009 KERAJAAN NEGERI PERTAHAN YB ELIZABETH

Monday, 16 February 2009 | Ruangan: Kenyataan Media

Saya dimaklumkan, terdapat sekumpulan orang yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat sedang mengedarkan beberapa keping gambar peribadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri YB Elizabeth Wong.

Beliau sudahpun memberikan keterangan tentang perkara tersebut kepada saya dan beliau juga sudah membuat laporan polis. Kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan penyiasatan terhadap isu tersebut secara bebas dan adil.

Saya dapati YB Elizabeth sejak sebelas bulan yang lalu terbukti mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan tekun dan bijaksana. Maka kini saya menaruh keyakinan bahawa beliau masih boleh meneruskan tugas dan tanggungjawab tersebut dengan cekap dan berkesan.

Sebagai manusia, YB Elizabeth mempunyai hak untuk menjalani kehidupan persendiriannya dan semua pihak harus menghormatinya. Sehubungan itu, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan lainnya dan saya akan memberikan sokongan kepada beliau bagi menghadapi saat yang mencabar.

Saya percaya pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab pasti akan menggunakan isu ini dalam usaha untuk tujuan politik tertentu. Namun, saya berharap agar orang awam tidak terus membuat keputusan sebelum pihak polis mengeluarkan hasil penyiasatan terhadap laporan yang dibuat oleh YB Elizabeth.

TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR SELANGOR