16 JAN 2009 PEMBELIAN TOYOTA DISEBABKAN KOS PENYELENGGARAN KENDERAAN TERDAHULU TERLAMPAU TINGGI.

Friday, 23 January 2009 | Ruangan: Kenyataan Media

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor peka dengan maklumbalas yang telah diberikan oleh banyak pihak berhubung pembelian Toyota Camry bagi kegunaan Exco serta pegawai Kanan Kerajaan Negeri.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah sebulat suara membuat keputusan meneruskan pembelian Toyota Camry setelah mengambil kira beberapa aspek antaranya ialah elemen yang melibatkan kos penyelenggaraan kereta Proton Perdana yang terlampau tinggi.

Untuk pengetahuan, jumlah kos penyelenggaraan Proton Perdana daripada tahun 2006 sehingga November 2008 telah menelan belanja sebanyak RM 694,735.55. Manakala terdapat juga kenderaan yang baru berusia 3 tahun sering mengalami kerosakan gear, terpaksa ditukar kotak gearnya sebanyak 2 kali dalam masa 2 tahun dan melibatkan kos yang sangat tinggi. 

Atas sebab ini Kerajaan Negeri mengambil keputusan membeli kereta Toyota Camry 2.4 sebanyak 15 unit yang berjumlah RM 2,356,123.35 dan telah diberikan jaminan oleh pihak Toyota selama 3 tahun. Setiap unit Toyota Camry dibeli oleh Kerajaan Negeri harga RM 157,074.89 setelah mendapat diskaun sebanyak RM 10,000.00 setiap satu.

Kerajaan Negeri juga berharap dengan penjelasan akan dapat memberi gambaran sebenar. Setiap keputusan yang telah dibuat telah mengambil kira semua faktor dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dengan telus,ikhlas dan amanah.

SEKRETARIAT AKHBAR 
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR