8 JANUARI 2009 JAWAPAN AKHBAR HARIAN METRO “HANYA JANJI KOSONG”

Friday, 23 January 2009 | Ruangan: Kenyataan Media

Laporan mengenai “Hanya Janji Kosong” akhbar Harian Metro pada 8 Januari 2009 adalah di rujuk.  Kami mengucapkan terima kasih di atas berita yang disiarkan.
 
Dalam laporan tersebut dinyatakan bahawa bantuan khas yang dijanjikan kepada mangsa tanah runtuh Bukit Antarabangsa tidak dipenuhi oleh pihak PKNS.  Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Bukit Antarabangsa, Encik Raymond Jaganthesen.  Dalam hal ini, PKNS menafikan laporan tersebut.

Laporan ini dibuat lanjutan daripada pengumuman pada 21 Disember 2008 oleh Dato’ Menteri Besar Selangor mengenai bantuan khas mangsa tanah runtuh Bukit Antarabangsa.  Dalam pengumuman tersebut PKNS telah menawarkan 14 unit rumah di Cheras Jaya untuk disewakan dengan kadar RM100.00 sebulan untuk 3 bulan pertama, dan seterusnya RM500.00 setelah tamat tempoh 3 bulan tersebut. 

Berhubung mengenai laporan rumah yang disewakan tidak serba lengkap, PKNS sebenarnya menawarkan rumah kosong yang sedia diduduki dan berdekatan dengan Bukit Antarabangsa.  Rumah tersebut akan dibaiki apabila mangsa tanah runtuh bersetuju untuk menduduki rumah berkenaan.

Dalam pada itu, PKNS mempunyai rumah kosong yang boleh diduduki tetapi amat berjauhan dari tempat kejadian. Kawasan yang dimaksudkan termasuklah Antara Gapi dan Bernam Jaya yang terletak di Hulu Selangor. 

Dalam masa yang sama, bagi 14 keluarga mangsa rumah yang ranap, Kerajaan Negeri telah menawarkan penjualan mana-mana projek perumahan PKNS pada kadar 10 hingga 15 peratus diskaun.

Dalam hal ini, sehingga hari ini seramai 2 keluarga mangsa Bukit Antarabangsa telah bersetuju untuk membeli rumah PKNS.  Seorang mangsa telah membeli satu unit rumah link 3 tingkat di Shah Alam pada harga RM 506,000.00.  Manakala seorang mangsa telah membeli 1 unit banglo berkembar 2 tingkat di Permai Jaya, Ampang pada harga RM850,000.00.  Kedua-duanya telah membayar deposit masing-masing. 

Seorang lagi mangsa telah mendaftar untuk membeli rumah di Bandar Baru Bangi dengan harga minimum RM835,000.00. Ketiga-tiga pembeli akan diberi diskaun 10 hingga 15 peratus sebagaimana yang telah diputuskan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor.

Selain itu, kesemua 268 keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh ini, Dato’ Menteri Besar Selangor telah bersetuju untuk memberi bantuan persekolahan kepada anak-anak mereka.  Bantuan yang diberikan adalah berupa baucar Pasaraya Giant sebanyak RM150.00 seorang untuk pembelian beg, kasut, dan baju sekolah.  Bantuan ini berjumlah RM97,000.00 dan semua anak-anak mangsa telah menerima baucar tersebut.

Kesimpulannya, PKNS menafikan kenyataan Encik Raymond Jaganthesen yang menyatakan  PKNS memberi janji kosong seperti yang disiarkan adalah tidak benar.

MOHD WAZIR BIN ABDUL GANI
Pengurus Perhubungan Awam
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor