KERAJAAN SELANGOR ARAH JABATAN AUDIT NEGERI SIASAT DAKWAAN SALAH GUNA SURAT SOKONGAN
Thursday, 29 July 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN AKHBAR
29 JULAI 2010
KERAJAAN SELANGOR ARAH JABATAN AUDIT NEGERI SIASAT DAKWAAN SALAH GUNA SURAT SOKONGAN
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengarahkan Jabatan Audit Negeri menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kepala surat (letterhead) yang dijadikan sebagai surat sokongan untuk mendapatkan kontrak Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Kerajaan Negeri telah meminta Pengarah Jabatan Audit Negeri, Datin Paduka Ungku Arfah Ungku Tahir untuk menyiapkan siasatan dalam tempoh sebulan supaya mempunyai masa untuk meneliti semua surat-surat yang telah dikeluarkan dan menemubual pihak serta individu tertentu yang berkaitan.
Sementara menunggu penyelesaian siasatan oleh Jabatan Audit Negeri, saya telah menyarankan supaya Ahli Majlis MPK, En.Tee Boon Hock mengambil cuti dari jawatannya sehingga satu keputusan dibuat.
En Tee telah dimaklumkan mengenai saranan ini dan beliau sendiri dengan rela hati bersetuju dengan saranan ini.
Ingin saya tegaskan, Kerajaan Selangor tidak akan menghukum seseorang yang didakwa bersalah sehingga beliau benar-benar didapati telah melakukan kesalahan.
Dalam kes En Tee ini, beliau diminta bercuti sebagai Ahli Majlis MPK untuk tidak menganggu tugasnya di samping memudahkan siasatan dilakukan dengan seadil-adilnya.
Sebagai Kerajaan Negeri yang mengamalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem pentadbiran, kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati menyalahguna kuasa yang diamanahkan.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR

