SURAT SOKONGAN BERUNSUR PERNIAGAAN PERLU DIELAKKAN
Wednesday, 28 July 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN AKHBAR
28 JULAI 2010
SURAT SOKONGAN BERUNSUR PERNIAGAAN PERLU DIELAKKAN
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pemimpin termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil rakyat dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan agar mengelak daripada mengeluarkan surat sokongan yang berkaitan untuk mendapat peluang perniagaan.
Kerajaan Negeri berpendapat surat sokongan bagi individu atau syarikat untuk mendapatkan kontrak perkhidmatan dan bekalan boleh menimbulnya konflik kepentingan (conflict of interest) serta boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, kerajaan negeri berpendapat surat sokongan untuk mendapatkan bantuan kebajikan adalah dibenarkan bagi membantu orang-orang yang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan segera.
Kerajaan Negeri juga akan meminta Datuk Bandar, Yang Dipertua dan agensi kerajaan untuk mengumpul semua surat sokongan yang telah dikeluarkan oleh semua pemimpin untuk diaudit dan dinilai keberkesanannya.
Langkah ini akan menolong Kerajaan Negeri mengamalkan pentadbiran yang baik (good governance) dan berintergriti dalam pentadbiran membabitkan semua peringkat.
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

