KERAJAAN SELANGOR KELUARKAN SENARAI PEMEGANG PERMIT MELOMBONG PASIR SEBELUM 2008
Friday, 16 July 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN AKHBAR
16 JULAI 2010
KERAJAAN SELANGOR KELUARKAN SENARAI PEMEGANG PERMIT MELOMBONG PASIR SEBELUM 2008
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini menyiarkan senarai nama syarikat dan individu yang diberikan permit melombong pasir di negeri ini yang dikeluarkan pada 2005, 2006 dan 2007.
Sebanyak 158 permit melombong pasir telah dikeluarkan untuk tiga tahun iaitu 49 permit pada 2005, 48 permit pada 2006 dan 61 permit pada 2007. Daripada jumlah ini, 33 permit dikeluarkan kepada individu dan selebihnya atas nama syarikat.
Permit-permit ini dikeluarkan oleh enam Pejabat Tanah iaitu Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang, Kuala Selangor, Petaling, Hulu Selangor dan Gombak.
Sebelum 2008, prosedur pengeluaran permit ialah Pejabat Tanah Daerah membuat kertas ringkasan mengenai permohonan yang dibuat untuk melombong pasir dan dihantar ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Permohonan ini kemudian dihantar ke Jawatankuasa Teknikal Permit Bahan Batuan untuk ulasan dan syor. Permit hanya dikeluarkan selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Tanah (Pasir).
Selepas Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), milik penuh kerajaan Selangor ditubuhkan, permit permohonan masih dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah tetapi hanya kepada KSSB.
KSSB akan membuat permohonan kepada pentadbir tanah dan selepas permohonan ini mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), barulah KSSB membuka tender secara terbuka kepada syarikat-syarikat yang berpengalaman dan mempunyai jentera yang mencukupi untuk menjalankan kerja perlombongan pasir.
Hasil kutipan penjualan pasir ini, KSSB membuat pembayaran royalti kepada Kerajaan Negeri menggunakan perkiraan yang telah ditetapkan.
Dengan cara ini, perlombongan pasir di atas tanah milik kerajaan lebih terkawal berbanding sebelum 2008 apabila hanya KSSB diberikan permit oleh pentadbir tanah.Langkah kerajaan Selangor ini bukan saja berjaya mengurangkan aktiviti curi pasir yang telah berleluasa sebelum 2008 malah telah meningkatkan kutipan hasil dan royalti.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
klik untuk lihat :Senarai Pemegang Permit Tahun 2005 Hingga 2007
Senarai Kontraktor KSSB Tahun 2008 – 2010

