MENTERI BESAR HADIRI MAJLIS MERAIKAN PERHARGAAN KEPIMPINAN ANJURAN PKNS
Thursday, 08 July 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN AKHBAR
8 JULAI 2010
MENTERI BESAR HADIRI MAJLIS MERAIKAN PERHARGAAN KEPIMPINAN ANJURAN PKNS
SHAH ALAM: Menteri Besar, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim menghadiri Majlis Meraikan Penghargaan kepada Menteri Besar di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), hari ini.
Majlis minum petang ini sebagai penghargaan dan tahniah kepada Menteri Besar yang telah dipilih menjadi antara 50 graduan University of Queensland (UQ), Australia, yang berperanan menentukan hala tuju universiti berkenaan menjelang 2020.
Menteri Besar telah dijemput menghadiri “Vice Chancellor’s Alumni Summit Strategic Directions to 2020” Brisbane, Australia, yang dihadiri 50 graduan terpilih itu pada awal bulan ini.
Selain Menteri Besar, mereka yang turut tersenarai dalam 50 graduan itu antaranya Menteri Pengangkutan Australia Rachael Nolan, Pengerusi Deloitte Touche Tohmatsu dan bekas Menteri Queensland, Dr Wayne Goss dan Hakim Kanan Mahkamah Persekutuan Australia, Justice Jeffrey Spencer.
Selain itu, Menteri Besar juga telah dipilih sebagai Pengerusi Perancangan Strategi Masa Depan UQ bersama tujuh lagi graduan UQ.
Majlis ini juga bagi meraikan penghargaan kepimpinan Menteri Besar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang korporat yang telah bersama-sama menyumbang idea untuk melaksanakan polisi dan program untuk Negeri Selangor dan juga anak syarikat kerajaan negeri.
Dengan bimbingan Menteri Besar, PKNS telah berjaya mengemukakan pelan untuk membangunkan semula projek perumahan di Bukit Botak yang terbengkalai lebih 10 tahun, Datum Jelatek di Lembah Keramat dan pembangunan semula Petaling Jaya.
Turut menghadiri majlis ini, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan di Selangor, YB Azmin Ali.
Kedua-dua mereka ini mengucapkan tahniah dan menyifatkan pengiktirafan tersebut melengkapkan lagi senarai anugerah yang diterima YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sejak beliau masih menjadi tokoh korporat sehingga dilantik Menteri Besar Selangor.
Mereka juga menganggap pengiktirafan UQ itu mengukuhkan lagi kepimpinan YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ketua pentadbiran di Selangor yang mentadbir negeri ini dengan telus dan bertanggungjawab.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

