MENTERI BESAR SELANGOR BERADA DI SINGAPURA UNTUK LAWATAN KERJA

Wednesday, 30 June 2010 | Ruangan: Kenyataan Media

KENYATAAN AKHBAR
30 JUN 2010
MENTERI BESAR SELANGOR BERADA DI SINGAPURA UNTUK LAWATAN KERJA

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim kini berada di Singapura untuk menghadiri Sidang Kemuncak Bandar Sedunia 2010 dan Minggu Air Sedunia atas jemputan Kerajaan Singapura.

Menteri Besar juga akan mengadakan pertemuan dengan syarikat yang dilantik kerajaan Selangor untuk mengemas kini dan mendapatkan maklumat lanjut kemajuan projek Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan pihak industri yang boleh membantu memastikan kejayaan projek itu.

Ketika sesi taklimat dengan Ahli Lembaga Pengarah Utiliti Awam Singapura dan pihak berkepentingan yang lain, Menteri Besar menegaskan komitmen kerajaan Selangor untuk membersihkan Sungai Klang sepanjang 120 kilometer.

Menteri Besar berkata, perjanjian antara Kerajaan Negeri dan syarikat yang dilantik akan ditandatangani dalam tempoh dua bulan akan datang bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama menjayakan projek itu.

Kerajaan Selangor telah melantik tiga syarikat untuk melaksanakan projek Pemulihan dan Pembangunan Sungai Klang yang melibatkan pelaburan bernilai RM50 bilion dan mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Projek ini dimulakan dengan kerja-kerja pembersihan sungai yang dijangka mengambil antara dua hingga tiga tahun yang pertama serta merawat air dengan kos RM1 bilion diikuti kerja pembangunan yang juga dianggarkan menelan kos RM1 bilion.

Tiga syarikat yang dipilih itu adalah TSS-Mako Engineering Sdn Bhd, GJA Engineering and Construction dan Wessex Water I-Bhd Consortium.

Menteri Besar juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Menteri Mentor, Lee Kuan Yew yang telah menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha Kerajaan Selangor ini.

“Presiden Singapura juga mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek ini yang menunjukkan minat Singapura dan sokongan negara itu kepada Kerajaan Selangor,” kata Menteri Besar.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR