SELANGOR PERKENALKAN DUA POLISI BARU UNTUK KEKALKAN PENTADBIRAN YANG BERSIH DAN TELUS

Wednesday, 02 June 2010 | Ruangan: Kenyataan Media

KENYATAAN AKHBAR
2 JUN 2010
SELANGOR PERKENALKAN DUA POLISI BARU UNTUK KEKALKAN PENTADBIRAN YANG BERSIH DAN TELUS.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memperkenalkan dua polisi baru iaitu Indeks Integriti Urus Tadbir Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan dan Pakatan Integriti (Intergrity Pact) bagi mengekalkan pentadbiran yang bersih dan menangani isu rasuah.

Indeks Integriti Urus Tadbir Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat akan dijadikan kayu pengukur untuk menilai keberkesanan dan kemajuan yang telah dicapai Kerajaan Selangor setiap tahun berdasarkan prinsip pentadbiran cekap, telus dan amanah.

Indeks Integriti ini akan membolehkan Kerajaan Negeri maklum akan kedudukannya dari segi pentadbiran dan pada masa yang sama, rakyat Negeri Selangor boleh menilai komitmen Kerajaan Negeri tehadap dasar-dasarnya.

Integrity Pact pula digunakan untuk tujuan pencegahan rasuah dalam kontrak dan tender awam dan telah terbukti membantu kerajaan, perniagaan dan masyarakat dalam usaha membasmi rasuah.

Pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini, kita telah menjemput Transparency International Malaysia (TI-M) untuk memberi taklimat dan penerangan kepada semua Exco serta pegawai kanan Kerajaan Negeri mengenai Indeks Integriti dan Integrity Pact.

Kita bersetuju untuk menubuhkan satu Jawantankuasa Khas yang akan membuat perlaksanaan Indeks Integriti Urus Takdbir Kerajaan Negeri Selangor dan Integrity Pact.

Kita berharap maklumat dan panduan yang diberikan Transparency International Malaysia ini dapat digunakan untuk Jawatankuasa Khas ini membangunkan Indeks Integriti Urus Tadbir Kerajaan Selangor dan Integrity Pact.

Kerajaan Negeri akan menjadikan Indeks Integiriti Urus Tadbir dan Integrity Pact sebagai satu hala tuju untuk kita mengekalkan pentadbiran yang bersih dan telus serta boleh dijadikan contoh kepada negeri- negeri lain yang ditadbir Pakatan Rakyat atau juga Kerajaan Pusat.

Pada masa ini, Kerajaan Malaysia tidak termasuk dalam Indeks Integriti Global. Kerajaan Negeri Selangor akan muncul sebagai negeri pertama mempunyai Indeks Integriti di negara ini.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR