KERAJAAN NEGERI PANTAU PEMILIKAN RUMAH KOS RENDAH OLEH KAKITANGAN KERAJAAN
Thursday, 27 May 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN AKHBAR
27 MEI 2010
KERAJAAN NEGERI PANTAU PEMILIKAN RUMAH KOS RENDAH OLEH KAKITANGAN KERAJAAN
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri akan mendedahkan nama-nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyalah guna kuota pembelian rumah kos rendah untuk kepentingan peribadi dan ahli keluarga terdekat.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan membuat pemantauan secara terperinci untuk memastikan kuota yang diperuntukkan kepada Adun itu diagihkan dengan betul .
Ketika pemerintahan kerajaan BN, setiap Adun diperuntukkan kuota untuk mengagihkan rumah kos rendah kepada mereka yang layak .
Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran pada Mac 2008, kuota yang diamalkan sejak sekian lama itu telah dimansuhkan kerana diragui ketelusannya.
Pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) hari ini, Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan pemantuaan dibuat terhadap setiap kakitangan kerajaan yang memiliki rumah kos rendah sejak 2004 sehingga sekarang.
Bagi kakitangan kerajaan yang telah memiliki rumah kos rendah, mereka akan dipanggil untuk memberi penjelasan dan jika terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pemilikan itu, tindakan sewajarnya akan diambil.
Kakitangan kerajaan ini juga akan diminta untuk menyerahkan semula rumah berkenaan kepada Kerajaan Negeri untuk dijual kepada mereka yang benar-benar layak.
Dalam kes Sharipah Marhaini Syed Ali dan Hanizah Katab ini, mereka telah diminta menyerahkan semula unit yang dimiliki kepada kerajaan negeri untuk dijual.
Tindakan ini tidak bermakna Kerajaan Negeri cuba menyekat mana-mana kakitangan kerajaan daripada memiliki rumah kos rendah asalkan mereka benar-benar layak serta menepati syarat dan prosedur yang telah ditetapkan.
Kerajaan Negeri mahu memastikan pengagihan rumah kos rendah dibuat secara adil sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang ditekankan dalam pentadbiran.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

