SISTEM KUPON AIR PERCUMA BAGI PEMILIK RUMAH KOS RENDAH
Thursday, 27 May 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN AKHBAR
27 MEI 2010
SISTEM KUPON AIR PERCUMA BAGI PEMILIK RUMAH KOS RENDAH
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memperkenalkan Sistem Kupon bagi membolehkan penghuni pangsapuri kos rendah menikmati pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan.
Bagi tujuan itu, Pangsapuri Sri Tanjung yang mempunyai 1,000 unit rumah yang terletak di USJ 16, Subang Jaya, telah dipilih sebagai perintis kepada program Sistem Kupon dan telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.
Pada majlis pelancaran itu, Menteri Besar telah menyampaikan kupon kepada kira-kira 500 pemilik unit rumah membabitkan bayaran rebet sebanyak RM72,480 setahun.
Sistem Kupon ini ini adalah salah satu Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bertujuan meringankan beban yang ditanggung rakyat berikutan kos hidup yang semakin tinggi terutama bagi golongan berpendapatan rendah.
Ketika ini, pemberian air percuma 20 meter padu hanya dinikmati oleh penduduk yang menetap di kawasan perumahan bukan strata iaitu landed property dan perumahan bertingkat yang menggunakan meter air individu.
Pangsapuri Sri Tanjung akan menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan dan jika berjaya, Sistem Kupon ini akan diperluaskan ke perumahan Rumah Kos rendah (KRK) yang lain di Selangor secara berperingkat. Tempoh tiga bulan itu akan membolehkan semua masalah berbangkit dikaji semula dan membaiki kelemahan supaya sistem pelaksanaannya dapat dipertingkatkan lagi.
Seramai 168,479 pembeli RKR membabitkan 620 skim perumahan yang belum menukar ke meter individu dijangka mendapat manfaat dari sistem kupon ini, selepas ia dilaksanakan sepenuhnya. Bagi menjamin ketelusan, hanya pemilik unit/petak saja layak menuntut kupon ini.
Kerajaan Negeri komited untuk memastikan semua rakyat yang tinggal di Selangor menikmati pemberian air percuma secara beterusan. Untuk ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan rundingan dan perbincangan untuk mengambilalih perkhidmatan air negeri untuk memberi perkhidmatan air yang lebih baik dengan harga yang berpatutan selaras dengan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

