KERAJAAN SELANGOR BANTU ADAKAN SIDANG VIDEO DR PORNTHIP SECARA LANGSUNG DARI BANGKOK

Wednesday, 19 May 2010 | Ruangan: Kenyataan Media

KENYATAAN AKHBAR
19 MEI 2010
KERAJAAN SELANGOR BANTU ADAKAN SIDANG VIDEO DR PORNTHIP SECARA LANGSUNG DARI BANGKOK

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah membuat persediaan untuk membantu pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand memberi keterangan secara langsung dari Bangkok bagi perbicaraan inkues kes kematian mendiang Teoh Beng Hock.

Kerajaan Negeri telah membuat persediaan tersebut setelah mendapat kelulusan dari Kementerian Kehakiman Thailand yang membenarkan Dr Pornthip memberi keterangan melalui sidang video secara langsung itu.

Pada Isnin lalu, peguam yang mewakili Kerajaan Selangor juga telah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner untuk mengadakan sidang video itu di Dewan Acara di I-City, Seksyen 7 Shah Alam esok .

Bagaimanapun, Mahkamah Koroner belum lagi memberi keputusan rasmi untuk membenarkan sidang video tersebut diadakan. Kerajaan Negeri difahamkan Mahkamah Koroner hanya akan membut keputusan setelah mendapat maklum balas dari Ketua Hakim Negara,Tan Sri Zaki Azmi.

Kami berharap pihak mahkamah dapat memberi keputusan positif bagi kepentingan semua pihak. Jika sidang video ini dapat diteruskan bukan sahaja Dr Pornthip dapat memberi keterangan, malah isu keselamatan Dr Pornthip tidak perlu timbul lagi.

Kerajaan Selangor berharap bantuan yang dibuat ini dapat melancarkan prosiding inkues bagi mencari kebenaran dan keadilan dalam kes kematian mendiang Teoh.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
.