PEMBELI HARTANAH TAMAN PUNCAK JALIL DAPAT KEBENARAN TUKAR MILIK HARTA

Tuesday, 18 May 2010 | Ruangan: Kenyataan Media

KENYATAAN AKHBAR
18 MEI 2010
PEMBELI HARTANAH TAMAN PUNCAK JALIL DAPAT KEBENARAN TUKAR MILIK HARTA

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini meluluskan permohonan kebenaran tukar milik secara menyeluruh (blanket consent for transfer) kepada 1,853 pembeli rumah kediaman dan rumah kedai di Taman Puncak Jalil, Puchong.

Kelulusan tersebut telah dibuat dalam satu mesyuarat yang melibatkan PejabatTanah dan Galian, syarikat pemaju Maxisegar Sdn. Bhd. dan dipengerusikan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian agar memastikan semua surat kelulusan dapat dikeluarkan dalam minggu ini supaya ia dapat diserahkan kepada pihak pemaju untuk diproses sebelum diserahkan pada pihak bank.

“Kerajaan Negeri akan memantau perkara ini agar semua pindah milik kepada 1,853 pembeli hartanah berjalan lancar agar pihak peminjam dapat melepaskan dana kepada syarikat bagi melengkapkan pembelian mereka,” kata Menteri Besar.

Jika semua berjalan lancar, pembeli rumah kediaman dan premis perniagaan akan boleh pindah masuk pada bulan depan.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR