SELANGOR ARAH AKTIVITI PROSES BAJA DARI NAJIS AYAM DI SUNGAI BULOH DIHENTIKAN
Friday, 14 May 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN AKHBAR
14 MEI, 2010
SELANGOR ARAH AKTIVITI PROSES BAJA DARI NAJIS AYAM
DI SUNGAI BULOH DIHENTIKAN
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Ladang Lay Hong di Batu 20, Sungai Buloh supaya memberhentikan aktiviti penghasilan baja organik dari najis ayam yang telah menyebabkan masalah bau busuk kepada penduduk berdekatan sejak beberapa tahun lalu.
Kerajaan Negeri juga akan membantu ladang tersebut membuang lebih 400 tan simpanan najis ayam bagi mempercepatkan pemberhentian aktiviti penghasilan baja dan operasi pembuangan itu dijangka akan selesai sepenuhnya dalam tempoh sebulan.
Keputusan ini telah dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) yang mengadakan mesyuarat semalam, selepas diberi taklimat oleh Pejabat Daerah, Jabatan Veterina, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak pengurusan ladang tersebut.Mesyuarat MTES itu telah dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Kerajaan Negeri berharap keputusan ini dapat menyelesaikan masalah bau busuk yang telah membelenggu penduduk sekitar kawasan ladang itu yang gagal diselesaikan menyebabkan masalah itu berlanjutan sejak lebih lima tahun lalu.
“Kita minta pihak ladang memberi kerjasama penuh untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh sebulan,” kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau juga berkata, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas termasuk merampas tanah jika syarikat tersebut masih meneruskan aktiviti membuat baja organik dari najis ayam.
Sehubungan itu, Pejabat Daerah dan JAS akan memantau operasi ladang tersebut dari semasa ke semasa supaya semua arahan kerajaan negeri dipatuhi oleh pengurusan ladang berkenaan.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

